Bintulu, 21 Ogos 2025 – Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menanam sebanyak 1,500 anak pokok daripada 40 spesies di Ladang Hutan Pendidikan, UPMS.
Seramai 120 peserta telah hadir bagi menjayakan program ini, melibatkan staf Sarawak Energy Berhad, Universiti Putra Malaysia Sarawak, Lembaga Kemajuan Bintulu, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Alam Sekitar dan pelajar Diploma Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan. Penglibatan pelajar dalam program ini memberikan peluang dan pengalaman kepada mereka dalam pemuliharaan dan pemulihan hutan
Program ini merupakan inisiatif SEB di bawah program 'Sarawak Energy Corporate Level Integrated 10-Year Tree Planting, Protection and Habitat Restoration Campaign 2021-2030' yang menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dan 'Greening Sarawak'. Ianya juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), khususnya Matlamat 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim) dan Matlamat 15 (Kehidupan di Darat), yang menekankan pentingnya tindakan kolektif terhadap pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti.
Program seperti ini wajar diteruskan pada masa hadapan agar kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat. Diharapkan usaha berterusan ini bukan sahaja menyumbang kepada kehijauan dan keseimbangan ekosistem, malah memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan sektor swasta dalam mencapai matlamat pembangunan mampan demi kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.
Tarikh Input: 28/08/2025 |
Kemaskini: 28/08/2025 | lanz
PERKONGSIAN MEDIA