PROGRAM PUTRA BAKTI: STEM NEXUS HUB 2026 MERIAH DI BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» BERITA » PROGRAM PUTRA BAKTI: STEM NEXUS HUB 2026 MERIAH DI BINTULU

PROGRAM PUTRA BAKTI: STEM NEXUS HUB 2026 MERIAH DI BINTULU

BINTULU, 8 Mac – Program Putra Bakti: STEM Nexus Hub 2026 yang berlangsung selama dua hari di Times Square Megamall Bintulu pada 7 dan 8 Mac lalu berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat khususnya belia serta pelajar sekolah di Bintulu. Program ini dianjurkan oleh pelajar kursus Kokurikulum Berkredit Bakti Siswa (QKK2101) semester kedua ambilan diploma sesi 2025/2026 Universiti Putra Malaysia Sarawak.
 
Penganjuran program berteraskan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) ini bertujuan memupuk minat generasi muda terhadap bidang sains dan teknologi di samping meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan teknologi secara selamat melalui pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan.
 
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuk Pameran, pertandingan Reka Bentuk Bandar Hijau, pertandingan Menara Straw, pertandingan Mewarna bagi kanak-kanak serta pertandingan e-sukan Mobile Legends yang mendapat sambutan hangat daripada golongan belia.
 
Menurut penganjur, program ini bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat dan kreativiti peserta, malah turut memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai kepentingan STEM dalam kehidupan seharian serta kerjaya masa hadapan.
 
Program tersebut turut dijayakan melalui kolaborasi strategik bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Bintulu yang menyokong usaha melalui perkongsian Kempen Internet selamat yang meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan siber dan penggunaan internet secara bertanggungjawab.
 
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar, UPM Sarawak. Menurut beliau, pendedahan sebegini dapat meningkatkan keyakinan diri peserta serta menggalakkan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.
 
Beliau memuji komitmen para pelajar yang berjaya menganjurkan program berskala komuniti ini serta berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.
 
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dan sokongan dalam menjayakan program ini. Penganjuran Putra Bakti: STEM Nexus Hub 2026 dilihat sebagai satu usaha signifikan dalam memperkasa pendidikan STEM serta menyemai kesedaran digital dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda di Bintulu.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 06/04/2026 | Kemaskini: 06/04/2026 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
-
F, (10:07:26am-10:12:26am, 14 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]