Dr Rundi (empat kanan), Dr Abdul Rahman (tiga kanan), Pengarah DVS Sarawak Datu Dr Adrian Susin Ambud (tengah) merakam gambar bersama jawatankuasa penganjur WVPAC 2025.
KUCHING: Sarawak dipilih sebagai tuan rumah pertama di Malaysia bagi Kongres Persatuan Veterinar Unggas Sedunia (WVPAC) 2025 yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 10 Oktober ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penganjuran kongres itu sangat bermakna kerana ia menyediakan platform untuk bertukar idea, berkongsi pengetahuan dan merangka masa depan industri unggas.
“Saya amat menghargai jawatankuasa penganjur kerana membawa acara berprestij ini ke Sarawak.
“Menjadi tuan rumah bukan sahaja membolehkan kita menonjolkan kemajuan dalam bidang unggas, tetapi juga menunjukkan komitmen Sarawak terhadap pembangunan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman penganjuran WVPAC 2025 di BCCK di sini semalam yang turut dihadiri pengerusi penganjur merangkap Presiden WVPA Malaysia Profesor Dr Abdul Rahman Omar.
Kongres ini bakal menghimpunkan lebih 1,500 delegasi dari 50 negara termasuk 19 penceramah antarabangsa ternama dalam bidang veterinar unggas, selain pameran produk, inovasi dan penyelesaian terkini dalam kesihatan serta pengeluaran unggas.
Dr Rundi turut menegaskan Sarawak kini berusaha keras mengubah kaedah pertanian tradisional kepada pendekatan moden, berasaskan teknologi dan inovasi, selain memastikan sektor unggas kekal selamat serta mampu memenuhi keperluan rakyat tanpa bergantung sepenuhnya kepada import.
Sementara itu pengerusi penganjur WVPAC 2025 menyifatkan kejayaan membawa kongres itu ke Sarawak sebagai satu pencapaian besar yang meletakkan Malaysia, khususnya Kuching di peta dunia sebagai hab saintifik.
“Unggas merupakan salah satu sektor terpenting dalam industri makanan. Di Malaysia, di Sarawak malah di seluruh Asia, unggas menjadi penyumbang utama dalam sumber protein.
“Namun begitu seperti industri lain, sektor unggas berdepan pelbagai cabaran antaranya ancaman penyakit berjangkit, peningkatan kos makanan ternakan, perubahan iklim dan alam sekitar serta perubahan dalam permintaan pengguna.
“Justeru, kongres ini amat tepat pada masanya bagi membincangkan cabaran-cabaran tersebut, khususnya berkaitan kemunculan penyakit baharu yang memberi kesan bukan sahaja kepada sektor unggas Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia,” katanya.
WVPAC 2025 dianjurkan oleh WVPA Malaysia dengan sokongan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak, Universiti Putra Malaysia, Business Event Sarawak (BESarawak) dan Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB).
Tarikh Input: 10/09/2025 | Kemaskini: 10/09/2025 | lanz
Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia