BINTULU – Tekanan akademik, hubungan sosial dan proses menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus merupakan antara cabaran yang boleh mempengaruhi kesejahteraan emosi mahasiswa. Menyedari kepentingan menyediakan ruang yang lebih pelbagai untuk pelajar mengekspresikan diri, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) mengambil pendekatan kreatif melalui pelaksanaan Sesi Art Therapy yang memberi fokus kepada penerokaan emosi, kekuatan diri dan pembinaan resiliensi.
Berbeza daripada sesi perkongsian yang bergantung sepenuhnya kepada komunikasi lisan, program ini menggunakan seni sebagai medium untuk membantu peserta menggambarkan pengalaman dalaman melalui warna, simbol dan lakaran, sebelum melakukan refleksi terhadap makna karya masing-masing.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Hairunisah Abdul Rahman, Kaunselor Pelatih Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merangkap Pegawai Psikologi UPMS, menerusi tiga aktiviti yang disusun mengikut proses penerokaan kendiri iaitu “Siapa Saya di Sebalik Topeng?”, “Beg Kekuatan Saya” dan “Bingkai Apa yang Ku Mahu”. Aktiviti pertama membawa peserta meneroka perbezaan antara diri yang sering ditampilkan kepada orang sekeliling dengan emosi atau sisi diri yang jarang dizahirkan.
Peserta kemudiannya dibimbing mengenal pasti sumber kekuatan dalaman dan luaran yang membantu mereka menghadapi cabaran menerusi aktiviti Beg Kekuatan Saya. Program diakhiri dengan Bingkai Apa yang Ku Mahu, apabila peserta menterjemahkan harapan dan perkara yang ingin dicapai dalam bentuk karya seni sebelum membingkaikannya untuk dibawa pulang sebagai peringatan terhadap hala tuju dan aspirasi masing-masing.
Menurut pengendali program, usaha menjaga kesihatan mental mahasiswa tidak seharusnya hanya bermula apabila seseorang berhadapan dengan masalah yang serius, sebaliknya turut merangkumi usaha pencegahan dan pembangunan kekuatan psikologi.
“Resilien bukan bermaksud seseorang itu tidak pernah berasa tertekan atau berdepan kesukaran. Apa yang penting ialah pelajar mengenali dirinya, sedar akan sumber kekuatan yang dimiliki dan mempunyai sesuatu yang ingin dituju apabila berhadapan dengan cabaran”.
Pendekatan melalui seni juga memberi pilihan kepada mahasiswa yang mungkin kurang selesa mengekspresikan pengalaman melalui kata-kata. Dalam sesi tersebut, hasil seni tidak dinilai berdasarkan kecantikan atau kemahiran melukis, sebaliknya digunakan sebagai medium penerokaan dan refleksi kendiri.
Pelaksanaan sesi dalam kelompok kecil turut membolehkan peserta mendapat ruang yang lebih selesa untuk berkarya, membuat refleksi dan berkongsi mengikut tahap kesediaan masing-masing.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan psikologi dalam kalangan mahasiswa UPMS, selain membantu membina generasi pelajar yang bukan sahaja mampu menghadapi tuntutan akademik, malah mempunyai kesedaran kendiri, kekuatan dalaman dan resiliensi dalam mendepani cabaran kehidupan.
Tarikh Input: 17/08/2026 |
Kemaskini: 17/08/2026 | lanz
PERKONGSIAN MEDIA