30 PELAJAR UPM KAMPUS BINTULU SANTUNI MASYARAKAT PENAN DI BAWAH PROJEK SULAM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » 30 PELAJAR UPM KAMPUS BINTULU SANTUNI MASYARAKAT PENAN DI BAWAH PROJEK SULAM

30 PELAJAR UPM KAMPUS BINTULU SANTUNI MASYARAKAT PENAN DI BAWAH PROJEK SULAM

TELANG USAN, 21 Oktober – Seramai 30 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu yang terdiri daripada 19 orang pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan (DPP), 10 orang pelajar Diploma Pembangunan Manusia dan seorang pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia terlibat dalam Program Komuniti Gotong-Royong Projek Kampung Angkat Madani Kementerian Belia dan Sukan di Kampung Long Latei, Telang Usan, Sarawak bermula pada 5 hingga 8 Oktober 2024 yang lalu.
 
Ketua Jabatan Sains dan Sosial, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPM Kampus Bintulu, Dr. Yasmin binti Yaccob berkata, projek berkenaan dilaksanakan di bawah Program SULAM iaitu Kursus 3R – Kitar Semula dengan Gaya dan Kajian Impak dengan mendapatkan maklumbalas serta menemubual penduduk Kampung Long Latei.
 
Jelas beliau lagi, sebagai sebahagian daripada Projek Pembangunan Kampung Angkat MADANI, program ini dilihat sebagai satu inisiatif dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk kampung melalui kerjasama dan semangat kolektif komuniti.
 
“Kursus 3R yang berkonsepkan pemindahan ilmu oleh UPM Kampus Bintulu dikendalikan oleh Dr Mohd Irwan Syah Md Yusoff dan di bawah penyelarasan Dr Rohaizahtulamni Radzlan dan Dr Nurul Hidayu Mat Jusoh selama dua hari di Kampung Long Latei telah memberikan kemahiran baharu dalam meningkatkan peluang ekonomi penduduk kampung,”
 
“Malah, penglibatan pelajar melalui program berkonsepkan Kampung Angkat ini telah mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat, memupuk nilai-nilai murni selain memperkukuhkan peranan pelajar IPT dalam membantu menyelesaikan isu-isu di komuniti,” tambah beliau.
 
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra bersama YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan di Kampung Long Latei baru-baru ini. Turut hadir Ahli Parlimen Telang Usan, YB Dato Denis Ngau,
 
Pengarah Pusat Belia Antarabangsa, Dr. Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee dan Pengurusan Kementerian Belia dan Sukan. Sementara itu YBhg Ts Dr. Nagulendran berkata, inisiatif yang dilaksanakan UPM Kampus Bintulu bertepatan dengan hasrat KBS bagi menggerakkan para belia dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan. Tambah beliau, usaha murni yang dilakukan oleh UPM Kampus Bintulu perlu dijadikan contoh bagi institut pendidikan tinggi (IPT) lain dalam menyalurkan kepakaran yang ada.
 
Selari dengan slogan ‘Tiada Masyarakat yang Terpinggir,’ beliau berharap program ini dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk serta memberi impak positif terhadap kehidupan masyarakat khususnya etnik Penan di Kg Long Latei.
 
Program Komuniti Gotong-Royong di Kampung Long Latei dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Pusat Belia Antarabangsa (IYC) dan Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (MyHumanitarian) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN N77 Telang Usan, JKKK Kampung Long Latei & Kelab Belia Long Latei Kampung Long Latei yang terletak di Telang Usan, Sarawak, didiami oleh masyarakat Penan merupakan salah satu kampung yang terlibat dalam inisiatif pembangunan Kampung Angkat oleh Kementerian Belia dan Sukan.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 23/10/2024 | Updated: 23/10/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/5:5:43:02~noCache