E-SUKAN MELONJAK DI BINTULU! KEJOHANAN MOBILE LEGENDS RAIH SAMBUTAN LUAR BIASA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » E-SUKAN MELONJAK DI BINTULU! KEJOHANAN MOBILE LEGENDS RAIH SAMBUTAN LUAR BIASA

E-SUKAN MELONJAK DI BINTULU! KEJOHANAN MOBILE LEGENDS RAIH SAMBUTAN LUAR BIASA

BINTULU, 8-9 Mac 2025 – E-Sukan semakin mendapat tempat dalam kalangan belia, khususnya remaja, seperti yang dibuktikan melalui sambutan luar biasa terhadap program Mobile Legends: Legends Unite. Program ini dianjurkan oleh pelajar Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) bagi sesi 2024/2025. Acara ini menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar sekolah menengah, mahasiswa, mahasiswi, dan orang awam.

Pengarah program, Muhammad Zahin Bin Zameri, menjelaskan bahawa program ini bertujuan memupuk minat belia terhadap e-Sukan, khususnya Mobile Legends: Bang Bang, selain menerapkan kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan, kepimpinan, dan pemikiran kritis serta kreatif. Menurutnya, dalam era Revolusi Industri 4.0, e-Sukan perlu diberi perhatian kerana semakin ramai generasi muda menceburi pertandingan bertaraf dunia.
 
Beliau turut menekankan bahawa kerajaan MADANI menyokong sepenuhnya pembangunan industri e-Sukan yang semakin berkembang pesat. Kejayaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) menjuarai Kejohanan Mid-Season Cup Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) 2024 di Esports World Cup di Riyadh, Arab Saudi, menjadi bukti keupayaan Malaysia dalam arena ini.
 
Program yang mendapat tajaan penuh daripada Hotlink ini menerima sambutan yang luar biasa dengan penyertaan seramai 216 peserta yang dibahagikan kepada 40 pasukan. Program ini bukan sahaja menarik mahasiswa UPM tetapi juga pelajar sekolah menengah serta belia setempat. Secara keseluruhan, acara ini dihadiri lebih 400 orang termasuk peserta dan penonton.
 
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ialah:
✅ Perlawanan antara 40 pasukan
✅ Pemberian sim kad Hotlink 5G percuma
✅ Ruangan permainan PS5 secara percuma
✅ Snek popcorn percuma
✅ Cabutan bertuah daripada Hotlink
✅ Siaran langsung di YouTube dan Facebook
 
Kejohanan ini menyaksikan pasukan ANOMALI 888 muncul sebagai juara, diikuti oleh TIM BINTULU sebagai naib juara, manakala tempat ketiga dimenangi oleh TEAM XPEDIA. Menurut Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Prof. Madya Ts. Dr. Wong Tze Jin, program seperti Mobile Legends: Legends Unite dapat membuka peluang kepada belia berbakat untuk mengasah kemahiran mereka dan menjadikan kejohanan ini sebagai batu loncatan ke peringkat yang lebih tinggi.
 
“Ini menjadi pemangkin semangat kepada belia untuk lebih berani menceburi e-Sukan secara profesional, sekaligus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya dalam ucapan perasmiannya di Dewan Sri Kenyalang, UPMKB.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 20/03/2025 | Updated: 20/03/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/5:5:04:46~noCache