BINTULU: Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menubuhkan Fakulti Perkhidmatan Veterinar dan Sains Haiwan. Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, inisiatif itu bertujuan menangani keperluan mendesak dalam meningkatkan perkhidmatan veterinar di Sarawak, sekali gus memperkasakan pembangunan ternakan dan pertanian di rantau ini.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) yang diketuai Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail.
"Perbincangan tertumpu kepada keperluan mendesak untuk meningkatkan perkhidmatan veterinar di Sarawak, yang juga akan membantu dalam memperkasa pembangunan ternakan dan pertanian di rantau ini," katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat cadangan di sebuah hotel di sini, semalam.
Dr. Rundi berkata, pada ketika ini, Sarawak menghadapi kekurangan tenaga kerja dalam sektor veterinar.
“Kesungguhan UPM untuk menubuhkan fakulti ini sangat membantu dalam memudahkan kerajaan menjalankan kerja-kerja berkaitan perkhidmatan veterinar,” jelasnya.
Selain itu, tambahnya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang merupakan Canselor UPM telah menunjukkan minat untuk menubuhkan Fakulti Perkhidmatan Veterinar di Sarawak semasa istiadat Konvokesyen UPM Ke-46 pada 2022.
Menurut Dr. Rundi, UPM Kampus Serdang yang diiktiraf menjalankan program veterinar merupakan salah satu daripada dua universiti di Malaysia menawarkan kursus veterinar, selain UPM Kampus Kelantan.
"Kerjasama ini bertujuan mempercepatkan kapasiti dan keupayaan perkhidmatan veterinar di Sarawak dengan MEITD sebagai peneraju," ujarnya.
Sementara itu, Dato Sri Roland Sagah turut menekankan bahawa inisiatif tersebut diminta oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, susulan bilangan doktor haiwan yang tidak mencukupi akibat pengambilan pelajar yang terhad untuk kursus veterinar di Sarawak.
"Kerajaan Sarawak amat bertuah kerana UPM sudi bekerjasama dengan kami. “Mereka bukan sahaja mempunyai kampus cawangan di Bintulu, tetapi juga menawarkan kursus berkaitan sains haiwan veterinar," kata Sagah.
Tambahnya, fakulti itu akan menjadi fakulti veterinar ketiga di Malaysia dan satu-satunya di Borneo, yang diharapkan dapat menarik pelajar dari negara lain di rantau ini. Difahamkan, Sarawak setakat ini hanya mempunyai 15 doktor haiwan kerajaan daripada seramai 98 doktor haiwan, termasuk pengamal swasta.
Date of Input: 25/07/2024 |
Updated: 25/07/2024 | lanz
MEDIA SHARING