PROJEK BAMBUSETUM@UPMKB BANGUNKAN PUSAT PEMULIHARAAN, PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN BULUH UTAMA SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » PROJEK BAMBUSETUM@UPMKB BANGUNKAN PUSAT PEMULIHARAAN, PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN BULUH UTAMA SARAWAK

PROJEK BAMBUSETUM@UPMKB BANGUNKAN PUSAT PEMULIHARAAN, PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN BULUH UTAMA SARAWAK

BINTULU: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) semalam meraikan perasmian Projek Bambusetum@UPMKB, hasil kerjasama strategik yang dimulakan pada 2021.

Taman buluh yang dibangunkan di Ladang Kongsi II UPMKB ini menampilkan pelbagai spesies buluh dan bertujuan menjadi pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pembangunan buluh di Sarawak.

Acara simbolik perasmian disempurnakan oleh Pro Canselor Universiti Putra Malaysia, Tan Sri Peter Chin Kah Fui.

Projek Bambusetum@UPMKB ini merupakan langkah penting dalam merealisasikan Pelan Induk Pembangunan Industri Buluh Sarawak, yang menyokong kelestarian alam sekitar dan memberi impak positif kepada ekonomi negeri.

Sebanyak 22 spesies buluh, baik dari dalam dan luar negara, telah ditanam di kawasan seluas lima hektar di Ladang Kongsi II UPMKB dengan 840 spesimen buluh hidup.

Taman ini akan menjadi pusat penyelidikan saintifik penting bagi industri buluh di Sarawak.

Selain itu, Sarawak juga mempunyai Bambusetum di Plot Percubaan Buluh Sabal, Simunjan, yang meliputi kawasan seluas 25 hektar.

Penasihat PUSAKA, Datuk Hashim Bojet, menyatakan bahawa projek ini adalah sebahagian daripada Pelan Strategik Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan pembangunan ekonomi hijau.

“Melalui PCDS 2030, Sarawak berhasrat membangunkan 10,000 hektar perladangan buluh komersial menjelang 2030, menjadikan buluh sebagai sumber ekonomi hijau yang mampan dan mesra alam,” jelasnya.

“Bambusetum@UPMKB juga berfungsi sebagai pusat pendidikan dan rekreasi yang terbuka kepada masyarakat setempat dan warga kampus, berperanan sebagai taman yang menghubungkan kelestarian alam sekitar dan pendidikan hijau,” jelasnya.

Selain itu, katanya lagi, PUSAKA juga berhasrat meneruskan komitmen dalam memajukan potensi industri buluh melalui penyelidikan dan pembangunan bersama institusi akademik seperti UPMKB, demi manfaat jangka panjang kepada ekonomi dan alam sekitar Sarawak.

“Dengan kerjasama ini, PUSAKA percaya ia akan terus menyumbang kepada pencapaian matlamat kelestarian dan ekonomi hijau negeri,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, kerjasama ini bermula pada 2019 apabila UPM dijemput menjadi ahli Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Industri Buluh Sarawak (SaBIDTec).

Pada 2021, katanya, PUSAKA dan UPM menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM570,000 selama lima tahun untuk membangunkan bambusetum ini.

Bambusetum@UPMKB dijangka menjadi pusat utama bagi pelbagai aktiviti pemuliharaan, pembelajaran, dan inovasi berasaskan buluh.

Hingga kini, taman ini telah mengumpulkan 22 spesies buluh yang dikenal pasti secara saintifik, dengan tambahan spesies tempatan yang sedang dalam proses identifikasi.

Selain itu, kajian penting berkaitan teknik kultur tisu, pertumbuhan dan pencegahan penyakit buluh turut dijalankan untuk menyokong industri buluh Sarawak.

Date of Input: 05/11/2024 | Updated: 05/11/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:11:57:08~noCache