Bagiau, Tatau, Bintulu – Program Seminar Keusahawanan Akuaponik yang dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) melalui Geran Komuniti Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI daripada Kementerian Kewangan berlangsung dengan jayanya pada 9 November 2024. Seminar yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Bagian ini berjaya menarik lebih daripada 100 peserta dari lapan 8 buah rumah panjang berhampiran serta guru-guru dan para pelajar, yang hadir untuk mempelajari teknik-teknik keusahawanan berasaskan akuaponik.
Penganjuran program ini bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada penduduk setempat tentang peluang perniagaan dalam bidang akuaponik, iaitu menggabungkan penanaman tanaman dengan pembiakan ikan secara serentak. Dengan fokus pada keusahawanan dan kelestarian, pensyarah kanan UPMKB, Dr Ismawati binti Sharkawi berkongsi cara memulakan perniagaan akuaponik, memasarkan hasil dengan berkesan, dan mengaplikasikan teknologi hijau untuk memperbaiki taraf hidup mereka.
Menurut pengarah program, Dr Fatin Hana Naning, “Kami di UPMKB komited untuk memperkasakan komuniti dengan ilmu dan kemahiran yang berguna, terutama dalam bidang pertanian lestari. Sokongan Geran Komuniti daripada Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI amat penting untuk merealisasikan inisiatif ini, dan kami berharap seminar ini akan membuka peluang baharu kepada para penduduk di sini.”
Program ini turut menampilkan pakar-pakar dalam bidang akuaponik yang berkongsi pengalaman serta memberikan panduan praktikal tentang bagaimana untuk membina perniagaan yang mapan. Sesi soal jawab yang interaktif membolehkan para peserta mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, dan sambutan yang diterima amat memberangsangkan.
Tuai Rumah Ulen Anak Segaya berkata, “Ilmu yang kami dapat pada hari ini sangat berguna. Dengan panduan ini, saya yakin boleh mencuba sistem akuaponik di rumah panjang kami dan mungkin memulakan perniagaan sendiri. Terima kasih kepada UPMKB dan semua yang terlibat.”
Komuniti tempatan yang terlibat adalah penduduk dari Rumah Ulen anak Segaya, Rumah Banyang anak Rekan, Rumah Abong anak Medan, Rumah Josip anak Adam, Rumah Rundi anak Layau, Rumah Gundi anak Chunggat, Rumah Enjan anak Gos, Rumah Dora anak Lani, serta guru-guru, staf dan murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Sungai Bagian.
Seminar ini bukan sahaja memberi peluang pembelajaran tetapi juga menjadi platfom untuk para peserta berhubung dan berkongsi idea, membina semangat kerjasama untuk menjayakan projek-projek akan datang. Pihak UPMKB berharap program ini akan menjadi langkah pertama ke arah memupuk minat keusahawanan yang mampan dalam kalangan komuniti Rumah Panjang di kawasan ini, sekali gus meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi mereka.
Date of Input: 21/11/2024 |
Updated: 21/11/2024 | lanz
MEDIA SHARING