BINTULU, 17 Jun – Institut Ekosains Borneo, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah menganjurkan webinar ilmiah bertajuk “Genebanks and Agrobiodiversity: Foundations for Sustainable Agriculture and Climate Change Adaptation” yang menghimpunkan seramai 53 peserta dari institusi akaemik dan penyelidikan termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Webinar ini menampilkan Dr. Mohd Norfaizal Ghazalli, Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Alam Sekitar, MARDI sebagai penceramah. Dalam pembentangan beliau, Dr. Norfaizal menegaskan bahawa MARDI akan terus memainkan peranan utama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sektor pertanian, khususnya dalam memastikan jaminan keselamatan makanan negara dapat terus dipertahankan dalam jangka panjang.
"Isu pemuliharaan agrobiodiversiti bukan sahaja penting untuk menjamin keselamatan makanan negara, malah ia juga merupakan langkah strategik dalam menangani perubahan iklim. Genebank berfungsi sebagai arkib biologi yang menyimpan pelbagai spesies tanaman yang berpotensi besar untuk kegunaan masa depan. Kita perlu melihat usaha ini sebagai pelaburan jangka panjang terhadap kelestarian sistem pertanian negara" ujar beliau.
Melalui pendekatan berasaskan inovasi, kerjasama rentas agensi dan pembangunan kapasiti akan menyumbang secara signifikan terhadap kemajuan sektor pertanian yang lestari. Dalam menghadapi cabaran global termasuk perubahan iklim dan gangguan rantaian makanan, pelaburan berterusan dalam inisiatif R&D dan rangkaian strategik adalah amat penting bagi memastikan daya tahan dan kecukupan bekalan makanan negara.
Dalam ucapan pembukaan, Pengarah Institut Ekosains Borneo, Dr. Syeed Saifulazry Osman Al Edrus menekankan bahawa isu perubahan iklim bukan sahaja memberi kesan kepada sektor pertanian tetapi juga kelestarian biodiversiti negara. Beliau berharap program seperti ini dapat merangsang lebih banyak penyelidikan dan kerjasama antara institusi untuk memastikan sumber genetik negara terus terpelihara dan dimanfaatkan secara optimum. Sesi perbincangan berlangsung dengan interaktif dan padat, merangkumi persoalan dasar, amalan konservasi genetik, serta inovasi teknologi dalam pembangunan genebank.
Webinar ini selaras dengan komitmen UPM dan rakan strategik dalam mendokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 2 (Kelaparan Sifar), SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim), dan SDG 15 (Kehidupan di Darat). Penganjuran sebegini membuktikan usaha berterusan ke arah memperkasa pertanian yang berdaya tahan demi kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan.
Date of Input: 23/06/2025 | Updated: 23/06/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia