ZUL SATAN CIPTA NAMA DI BOTA 2025, PANCINGAN TERBESAR BAWA PULANG KEJUARAAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » ZUL SATAN CIPTA NAMA DI BOTA 2025, PANCINGAN TERBESAR BAWA PULANG KEJUARAAN

ZUL SATAN CIPTA NAMA DI BOTA 2025, PANCINGAN TERBESAR BAWA PULANG KEJUARAAN

BINTULU, 1 Mei 2025 – Kolam Mega Bintulu Sarawak menjadi tumpuan luar biasa apabila Pertandingan Memancing - Battle of the Anglers 2025 (BOTA2025), anjuran Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Kolam Mega Bintulu Sarawak berlangsung meriah dalam suasana penuh warna-warni dan semangat kesukanan.
 
Dianggarkan seramai lebih kurang 1,200 orang yang terdiri daripada peserta dan ahli keluarga masing-masing membanjiri lokasi berkenaan. Penyertaan pada kali ini bukan sahaja mampu menarik minat pemancing dari seluruh bahagian di Sarawak malah turut mendapat sambutan dari pemancing dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Brunei dan Indonesia. Menurut En. Andison Nissen, Pengarah Program BOTA2025, jumlah keseluruhan peserta yang bertanding pada kali ini adalah sebanyak 630 orang. “Ini membuktikan sukan memancing ini semakin mendapat tempat di peringkat serantau”, ujar beliau.
 
Jumlah keseluruhan hadiah wang tunai yang ditawarkan bagi edisi pada kali ini adalah sebanyak RM60,700.00. Syamsuri Omar atau lebih dikenali sebagai Zul Satan telah muncul sebagai Juara dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000.00 dan diikuti oleh Mohd John Abdullah selaku Naib Juara dan Ainul Hakim Bin Kapli di Tempat ketiga.
 
Selain itu, sebanyak 31 unit hadiah menarik juga telah disediakan kepada pemancing untuk acara cabutan bertuah yang telah diterima dari pihak TCE Tackle, Power Tackle, Atlantic Marketing Company, PPL Angler serta Arvine Fishing Tackle.
Menurut Encik Mohamad Syukri Bin Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir, Pejabat Pengurusan Pelajar, UPMKB yang mewakili Pengarah Kampus UPMKB pada majlis berkenaan berkata tujuan utama penganjuran program pada kali ini adalah sebagai persediaan bagi penawaran Kursus Kokurikulum Berkredit QKS2218 Memancing yang akan ditawarkan kepada pelajar pada sesi akademik yang datang. Selain itu, ianya juga menunjukkan sokongan padu pihak universiti terhadap program komuniti seperti ini, malah turut menyerlahkan komitmen UPMKB dalam memupuk semangat kesukanan dan keterlibatan masyarakat setempat.
 
“Saya merasa bangga atas sambutan luar biasa yang diterima pada kali ini. Program ini bukan sekadar aktiviti memancing semata-mata tetapi ianya merupakan satu wadah penyatuan rakyat. Saya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan yang lebih besar dan hadiah yang lebih lumayan”, ujar beliau.
 
Acara ini sekali lagi membuktikan bahawa sukan memancing mampu menjadi platform berimpak tinggi dalam memperkukuh perpaduan dan mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Malaysia dan serantau.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 06/05/2025 | Updated: 06/05/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/7:4:03:10~noCache