Bintulu, 8 Julai 2025 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menganjurkan Program Jerayawara Latihan dan Taklimat Staf sempena Pengukuhan Pengurusan Kualiti Penyelidikan, bertempat di Ruai Sri Meranti dan Dewan Kuliah Pusat 2A, UPMS.
Program yang berlangsung selama satu hari ini merupakan inisiatif Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan UPMS dengan kerjasama erat Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UPM Serdang. Ia bertujuan untuk memperkukuh kefahaman dalam kalangan staf akademik dan urus tadbir berkenaan amalan terbaik serta penyelarasan dasar penyelidikan sejajar dengan piawaian semasa universiti.
Program ini dibahagikan kepada dua sesi utama. Sesi pagi memberi fokus kepada latihan teknikal dan penyelarasan bersama urus setia penyelidikan dari fakulti dan institut, manakala sesi petang melibatkan penyelidik, pensyarah serta pelajar pascasiswazah. Pendekatan dua sesi ini bertujuan memastikan setiap kumpulan sasaran menerima input yang sesuai dan berfokus mengikut fungsi dan peranan masing-masing.
Menarik perhatian dalam program ini adalah kehadiran Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Faizal bin Ibrahim, Timbalan Pengarah RMC, UPM Serdang, yang hadir mewakili Pengarah RMC. Beliau turut mengetuai delegasi dari pelbagai seksyen utama RMC iaitu Seksyen Pengurusan Geran Penyelidikan, Seksyen Pemantauan dan Perjanjian Penyelidikan, serta Unit Pendanaan.
Melalui pembentangan dan sesi dialog bersama para peserta, rombongan RMC memberi penekanan kepada aspek penting dalam pengurusan geran penyelidikan, pematuhan perjanjian, proses pemantauan serta inisiatif baharu dalam pendanaan projek penyelidikan.
Menurut Tuan Haji Sudirman bin Asmadi, Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan UPMKB, program ini bukan sekadar platform latihan tetapi juga satu bentuk penyesuaian dinamik terhadap perkembangan dan perubahan dalam pengurusan akademik dan penyelidikan di peringkat institusi.
Program sebegini memberi ruang kolaboratif antara UPM Sarawak dan pengurusan di UPM Serdang, di samping memperkukuh jaringan komunikasi dua hala yang lebih sistematik dan telus, katanya pada program tersebut.
Turut dimaklumkan, peserta yang mengikuti keseluruhan program layak memperoleh Mata Continuous Professional Development (CPD) sebagai pengiktirafan terhadap penglibatan dalam pembangunan profesional berterusan.
Secara keseluruhan, program ini telah berjaya mengukuhkan kefahaman, menyemarakkan semangat kolaboratif, serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga UPM Sarawak terhadap pentingnya tadbir urus berkualiti tinggi dalam penyelidikan dan pengurusan siswazah.
Date of Input: 10/07/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia