KARNIVAL IRIS 2025: MEMBANGUN GENERASI INOVASI HIJAU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » KARNIVAL IRIS 2025: MEMBANGUN GENERASI INOVASI HIJAU

KARNIVAL IRIS 2025: MEMBANGUN GENERASI INOVASI HIJAU

BINTULU, 16 Mac 2025 – Karnival IRIS 2025 bertemakan Generasi Inovasi Hijau untuk Dunia Lestari telah berlangsung dengan jayanya pada 15-16 Mac di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB). Dengan kehadiran sekitar 300 pengunjung, karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap perubahan iklim dan penerapan teknologi hijau dalam kehidupan seharian.

Program ini dianjurkan oleh pelajar kelas QKI2101 Inovasi dan Rekacipta Semester 2 2024/25, UPMKB melalui Pusat Kokurikulum dan Pengurusan Pelajar (bersama Institut Ekosains Borneo (IEB), dengan kerjasama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak serta SMK Bintulu. Beberapa syarikat swasta turut serta, termasuk Zha Environmental Sdn Bhd, SAR-Alam Indah Sdn Bhd dan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd. Kerjasama bersama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak ini membuktikan komitmen yang tinggi dan usaha yang berterusan oleh agensi bersama universiti dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara alam sekitar dan memupuk generasi hijau dikalangan komuniti.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Kampus UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, yang menegaskan kepentingan inovasi dalam menangani cabaran alam sekitar. Turut hadir, Tuan Haji Fakhzan Buang (Fasilitator Khas, Pusat Kokurikulum) dan Dr. Syeed SaifulAzry Osman Al Edrus (Pengarah IEB merangkap Penasihat Program).

Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti aplikasi drone, Arduino, penanaman pokok dan penghasilan baja kompos di FutureGreen Expo. Booth Eco-Maze membolehkan peserta bermain sambil belajar mengenai teknologi hijau, manakala Adventure Cove menyediakan aktiviti interaktif untuk kanak-kanak.

Selain itu, booth pameran daripada penganjur bersama dan syarikat swasta turut memaparkan inovasi dalam pengurusan sisa lestari, realiti maya dalam pendidikan alam sekitar, serta teknologi rawatan sisa kumbahan.

Pengarah Program, Erickson Gravesent Bin Muzidi, menekankan bahawa karnival ini memberi peluang kepada pelajar untuk menampilkan kreativiti dan kepimpinan, selain mendidik masyarakat mengenai inovasi hijau. Dalam majlis penutupan, Dr. Syeed SaifulAzry menyampaikan cenderamata kepada rakan kerjasama, dan Nur Afifah Aisah Rahmat (Timbalan Pengarah Program) dalam ucapan penutupannya menzahirkan rasa bangga atas sambutan yang memberangsangkan.

Karnival IRIS 2025 membuktikan bahawa inisiatif sebegini mampu membentuk masyarakat inovatif dan prihatin terhadap alam sekitar, sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak penganjuran program seumpamanya pada masa hadapan.

Date of Input: 18/03/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:9:20:19~noCache