PAKAR ANTARABANGSA PERKUKUH PENYELIDIKAN PEROSAK DAN PENYAKIT TANAMAN DI UPM BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » PAKAR ANTARABANGSA PERKUKUH PENYELIDIKAN PEROSAK DAN PENYAKIT TANAMAN DI UPM BINTULU

PAKAR ANTARABANGSA PERKUKUH PENYELIDIKAN PEROSAK DAN PENYAKIT TANAMAN DI UPM BINTULU

Pada 20 Februari hingga 6 Mac 2025 yang lalu, Profesor Dr. Paul Taylor dari University of Melbourne, Australia telah mengadakan kunjugan ke Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB). Beliau yang juga merupakan Profesor Pelawat Kehormat FSPH telah mengadakan kunjungan ini untuk berkongsi kepakaran dalam bidang perosak dan penyakit tanaman, selain memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua institusi.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa kunjungan Profesor Dr. Paul Taylor ke FSPH adalah mengadakan perkongsian kepakaran dengan staf akademik. Profesor Dr. Paul Taylor telah bertemu dengan staf akademik bagi membincangkan penyelidikan khususnya berkaitan patologi tumbuhan, bioteknologi dan sistematik penyakit tanaman. Di samping itu, FSPH juga telah mengadakan program Bengkel Penulisan Manuskrip dan Penulisan Kertas Cadangan Penyelidikan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman di samping meningkatkan penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi. Selain itu, beliau juga telah memberi input dalam penambahbaikan dokumen kurikulum bagi program Bacelor Sains Bioindustri dengan Kepujian (BSBI). Selain itu, aktiviti lain yang telah dilaksanakan bersempena kunjungan Profesor Dr. Paul Taylor ke FSPH adalah sesi perkongsian pengalaman akademik bersama pelajar pascasiswazah serta memberi kuliah khas kepada pelajar Diploma Pertanian mengenai asas patologi tumbuhan.

Satu program latihan kepada staf makmal berkaitan penyediaan dan diagnosis penyakit tanaman yang berhasrat untuk meningkatkan kemahiran staf dalam Teknik aseptic dan diagnosis penyakit juga telah diadakan. Melalui sesi ini, Profesor Dr. Paul Taylor dan peserta yang terdiri daripada Penolong Pegawai Sains, Pembantu Makmal dan Personel MySTEP telah membuat penemuan beberapa jenis bakteria dan fungi yang dikenalpasti sebagai punca penyakit bagi tanaman di UPMKB.

Profesor Dr. Paul Taylor juga telah membuat satu pembentangan khas yang bertajuk Unravelling the Cause of Yield Decline in Field Crops yang memfokuskan kepentingan keterjaminan makanan sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, perbincangan berhubung potensi peluang pembiayaan penyelidikan antarabangsa dengan Asia-Pacific Association of Agricultural Research Institutions (APAARI) dan Crawford Fund Australia juga telah diadakan.

Kunjungan Profesor Dr. Paul Taylor sebagai Profesor Pelawat Kehormat FSPH ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik antara UPM dan University of Melbourne, tetapi juga memberi impak besar dalam meningkatkan keupayaan penyelidikan, pengajaran, serta pemindahan ilmu dalam bidang pertanian. Diharapkan kerjasama ini akan terus berkembang dan membawa manfaat kepada para pelajar, penyelidik serta industri pertanian Malaysia pada masa hadapan.

Date of Input: 18/03/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:4:23:44~noCache