BINTULU: Daging ayam termasuk telur ayam kerap mendapat permintaan tinggi di pasaran dalam negara terutamanya pada musim perayaan.
Situasi itu amat menuntut penglibatan lebih ramai pengusaha dalam industri penternakan ayam untuk memastikan bekalan makanan itu konsisten.
Penglibatan pengusaha dilihat dapat membantu dan menyokong usaha kerajaan dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025 yang dibangunkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Berdasarkan portal kementerian terbabit, usaha itu bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan negara dengan mengambil kira isu dan cabaran di sepanjang rantaian bekalan makanan bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan.
Justeru Pusat Pertanian Putra Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (PPP UPMKB) mengambil pendekatan berterusan ke arah itu melalui perkongsian ilmu berkaitan dengan menganjur Kursus Pengurusan Penternakan Ayam (Siri 3) pada 27 April lalu yang mendapat maklum balas positif daripada 38 peserta dari latar belakang berbeza kerjaya seluruh Sarawak.
Antaranya, perunding pemasaran digital Edwin Engbat Gara yang melihat potensi industri penternakan ayam ini yang mampu dipasarkan secara lebih meluas secara dalam talian.
Katanya, pengusaha ternakan ayam hari ini mempunyai peluang besar untuk memasarkan ternakan mereka tidak hanya secara konvensional bahkan secara digital sehingga ke peringkat antarabangsa bahkan menambah rantaian bekalan daging ayam di negara ini.
Kursus ini membuka mata dan minda saya untuk cuba menceburkan diri dalam bidang penternakan ayam serta bercadang untuk mengusahakannya di tanah sendiri pada masa depan, katanya semasa ditemui selepas menerima sijil penyertaan daripada Timbalan Pengarah PPP UPMKB Profesor Madya Dr Amy Halimah Rajaee.
Tambahnya, beliau juga berminat untuk membantu memasarkan ternakan para pengusaha lainnya melalui kaedah digital.
Penjawat awam Abang Adib Amshar Abang Mohamad Daud berkata, penglibatan lebih ramai pengusaha dalam industri ternakan ayam akan membantu dalam menambah rantaian bekalan ayam untuk pasaran Sarawak.
Saya bercadang untuk menghadiri kursus dan membuat kertas kerja bagi mendapatkan dana daripada mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun swasta agar dapat membantu mengisi peratusan penjualan ayam halal di Sarawak, katanya.
Disebabkan itu katanya, penyertaan beliau dalam kursus anjuran UPMKB ini amat bermakna kerana ilmu teknikal sukar dipelajari dalam talian memandangkan di sini kita mendapat ilmu daripada tenaga pengajar pakar yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang terbabit.
Saya sanggup datang dari Kapit ke Bintulu kerana saya percaya dengan kredibiliti tenaga pengajar yang mengajar secara bersemuka antaranya dalam pemvaksinan, perindukan, pemilihan telur yang bagus untuk penetasan dan juga penyediaan rekod ladang, ujarnya.
Usahawan bakeri Judy Stephen pula menyifatkan perkongsian pengalaman serta tips pengurusan penternakan yang betul diharap dapat meningkatkan kemahiran dalam mengusahakan ternakan ayam terutama bagi mereka yang berminat menceburi industri ini.
Saya datang dengan pengetahuan sifar dan kini sedikit sebanyak mendapat ilmu berkenaan penternakan ayam.
Saya berharap dapat mempraktikkan ilmu yang diperolehi ini dengan melibatkan diri dalam penternakan ayam secara kecil-kecilan di samping akan mendapatkan bimbingan dan nasihat daripada staf PPP UPMKB yang berpengalaman Dr Carlina Freddie Simol@Rachellynna, katanya.
Sementara itu, Marchellia John Pillai yang kini bekerja sebagai pengendali kren sebuah syarikat industri di sini berkata, melakukan dua kerja dengan terlibat dalam ternakan ayam ini bukan sahaja membantu memperkembangkan industri ini bahkan satu alternatif baginya untuk menjana pendapatan tambahan untuk menyara keluarganya.
Mungkin saya tidak dapat menumpukan sepenuhnya dalam penternakan ayam pada masa ini mengambil kira akan usia dan kudrat saya sebagai wanita yang melakukan kerja lain tetapi saya akan cuba untuk menceburi bidang ini, katanya akan menghadiri pelbagai kursus penternakan berkaitan.
Katanya, kursus ini membuka matanya berkenaan kebaikan dalam industri ini serta berhasrat sekiranya mempunyai modal mencukupi akan memulakan penternakan ayam ini secara lebih serius.
Pensyarah kanan dan guru Bahasa Inggeris Ramuni Incham berkata, satu kepuasan bagi beliau sekiranya dapat menyediakan bekalan makanan terutamanya daging ayam untuk kegunaan sendiri.
Beliau yang terlibat dalam penternakan ayam secara kecil-kecilan turut bercadang untuk meningkat kuantiti ayam ternakan pada masa depan yang mungkin dapat dipasarkan sekiranya ternakan semakin bertambah.
Katanya, penglibatannya dalam industri penternakan ayam merupakan persediaannya menjelang persaraannya.
Dengan penyertaan keduanya dalam kursus ini Ramuni berkata, ia untuk memantapkan pengetahuan beliau yang sebelum ini telah mengikuti kursus yang sama dengan berbekalkan pengetahuan sifar namun kini telah memahami program kesihatan, penyimpanan rekod dan pemakanan ternakan ayam.
Saya akan mempraktikkan ilmu yang dipelajari ini melalui permulaan penternakan ayam secara kecil-kecilan, katanya.
Date of Input: 15/05/2024 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia