SARAWAK PERKASA PENYELIDIKAN WARISAN BUDAYA DAN SAINS SOSIAL | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » SARAWAK PERKASA PENYELIDIKAN WARISAN BUDAYA DAN SAINS SOSIAL

SARAWAK PERKASA PENYELIDIKAN WARISAN BUDAYA DAN SAINS SOSIAL

BINTULU: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi sokongan penuh terhadap usaha penyelidikan berkaitan sains sosial, kemanusiaan serta kajian mendalam mengenai adat, budaya dan gaya hidup masyarakat pelbagai etnik di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penyelidikan seperti ini penting untuk mendokumentasikan warisan pengetahuan tempatan, antaranya penggunaan herba tradisional oleh kaum Kelabit yang telah diterbitkan dalam bentuk buku.

Kajian seperti ini hanya dapat dilakukan jika ada penyelidikan mendalam. Universitilah yang biasanya mampu melaksanakan kajian sebegini, dan kerajaan negeri akan terus menyokong, katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains, Sains Sosial dan Kemanusiaan Kali Ke-4 (ICOSSH 2025) di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Menurutnya, inisiatif sebegini dapat dijalankan melalui kerjasama universiti dan sokongan peruntukan kerajaan negeri, termasuk menerusi Kerusi Tok Nan di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

Kita berharap usaha seperti ini tidak akan terhenti. Kerajaan negeri dan Kementerian Sains akan terus membantu penyelidikan demi mendalami pengetahuan mengenai kaum-kaum di Sarawak, tegasnya.

Dalam masa sama, Abdul Karim menegaskan kepentingan memastikan pelajar di luar bandar turut mendapat akses kepada mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, sekolah luar bandar berdepan kekangan menyediakan kemudahan makmal dan peralatan yang memerlukan kos tinggi, berbeza dengan sekolah di bandar yang lebih mudah melaksanakannya.

Kalau hanya sekolah di bandar menawarkan STEM, apa akan jadi kepada anak-anak luar bandar? Mereka akan terus ketinggalan dari segi peluang menjadi jurutera, doktor dan profesion lain yang memerlukan latar belakang STEM, ujarnya.

Beliau berkata, atas faktor tersebut, kerajaan negeri menubuhkan lima sekolah antarabangsa di Sarawak bagi memastikan pelajar luar bandar mendapat peluang pendidikan berkualiti dan setara dengan rakan mereka di bandar.

Inilah sebabnya kita berani mengambil langkah sendiri. Jika dasar persekutuan tidak menyeluruh, Sarawak tidak boleh hanya menunggu. Kita perlu bertindak untuk memastikan masa depan anak-anak kita terjamin, katanya.

Pada majlis sama, Abdul Karim turut melancarkan buku bertajuk Tumbuh – Tumbuhan Ubatan Etnik Kelabit Di Bario Sarawak, hasil bersama Prof. Madya Dr. Mohamad Maulana Magiman, Rohaidah Haron, Fauziah Abu Bakar dan Razak Ab Karim dari UPMS.

Date of Input: 13/08/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (08:03:23am-08:08:23am, 14 Aug 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]