TAHNIAH TIEW SIEW JIN – PENERIMA BIASISWA YANG DI-PERTUAN AGONG (BYDPA) 2025! | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » TAHNIAH TIEW SIEW JIN – PENERIMA BIASISWA YANG DI-PERTUAN AGONG (BYDPA) 2025!

TAHNIAH TIEW SIEW JIN – PENERIMA BIASISWA YANG DI-PERTUAN AGONG (BYDPA) 2025!

KEJAYAAN GEMILANG WARGA UPMS!

BINTULU, 21 Julai 2025 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) sekali lagi mengukir kejayaan membanggakan apabila Tiew Siew Jin, pelajar Sarjana Sains (Bioteknologi Makanan) dari Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), dinobatkan sebagai penerima tunggal dari UPMS bagi Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2025, salah satu anugerah biasiswa tertinggi dan paling berprestij di Malaysia untuk pengajian peringkat Sarjana secara penyelidikan.

Kejayaan ini hadir di bawah seliaan dan bimbingan YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah UPMS, yang sentiasa komited melahirkan graduan unggul dan penyelidik cemerlang dari bumi Kenyalang.

BYDPA merupakan salah satu pengiktirafan tertinggi di Malaysia yang diberikan kepada individu luar biasa dalam bidang akademik dan penyelidikan. Pemilihan Tiew Siew Jin ke dalam kelompok elit penerima biasiswa ini membuktikan bahawa UPMS mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Penyelidikannya memfokuskan kepada sagu, tanaman tempatan Sarawak yang kaya dengan kanji tahan. Kajian klinikal sedang dijalankan untuk menilai potensi kanji sagu sebagai bahan makanan berfungsi, khususnya dalam penghasilan produk prebiotik yang menyokong kesihatan usus, membantu mengawal paras gula dalam darah dan mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti obesiti dan diabetes. Selain impak kesihatan, beliau percaya sagu turut berpotensi memperkukuh industri tempatan dan menyokong dasar pengurangan kebergantungan kepada import makanan.

Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih, semangat juang yang tinggi serta sokongan berterusan daripada pensyarah dan pihak pengurusan universiti, kata Tiew dengan penuh rendah diri.

Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian individu, tetapi menjadi cerminan kepada potensi luar biasa warga kampus UPMS. Ia turut menjadi inspirasi kepada seluruh pelajar dan pensyarah untuk terus mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi, serta menyumbang secara langsung kepada kemajuan masyarakat dan negara.

Semoga pencapaian ini membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk pelajar UPMS terus mengorak langkah dalam bidang akademik, sekali gus menjadikan UPMS sebagai pusat kecemerlangan ilmu di Borneo dan serantau.

Date of Input: 28/07/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (04:51:03am-04:56:03am, 18 Aug 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]