BINTULU: Masyarakat Islam setempat dan mahasiswa Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) memeriahkan acara diskusi ilmiah dalam Program Kerohanian Bina Insan MADANI Perkasa Jati Diri Mahasiswa di Surau Darus Syakirin Kampung Assyakirin Fasa 1 pada malam Jumaat.
Program anjuran Kolej Sri Rajang UPMKB dan Kolej Dua Belas UPM Serdang itu mendapat kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu serta Surau Darus Syakirin Kampung Assyakirin Bintulu.
Penganjuran program itu bertujuan untuk memperkukuh sahsiah serta jati diri mahasiswa melalui pendekatan kerohanian.
Hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee pada program itu ialah kakitangan Pusat Khidmat Rakyat N.67 Jepak merangkap Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak Awangku Nasir Pengiran Kerta.
Beberapa aktiviti diadakan pada program itu membabitkan sesi ceramah motivasi, bengkel kerohanian, qiyamullail serta diskusi ilmiah dalam sesi forum yang menekankan konsep Insan MADANI dalam kehidupan seharian.
Forum bertemakan Keperibadian MADANI Penyatu Ummah itu menyaksikan dua ahli panel terdiri daripada Pengarah Pusat Islam UPM Ustaz Zuhaimi Abd Rahim dan Pengerusi Sekretariat Duat Al-Falah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Ustaz Abdul Hadi Bakri mengupas tajuk berkaitan. Manakala moderatornya Pegawai Psikologi UPMKB Muhammad Abdul Rahim Habib.
Program ini turut menggalakkan mahasiswa serta masyarakat Islam setempat untuk mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian mereka.
Date of Input: 25/02/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia