BINTULU – Program Festival Kepustakaan (LitFest) 2024 yang berlangsung dari 2 hingga 15 September telah berjaya mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records bagi pencapaian The Longest Readathon dengan rekod membaca tanpa henti selama 316 jam.
Program anjuran Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Bintulu Port Holdings Berhad dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak ini bertujuan untuk menggalakkan serta mempromosi budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Seramai 790 peserta terlibat dalam sesi pembacaan tersebut yang terdiri dari kalangan pelajar dan kakitangan UPMKB dan murid-murid dari 6 buah sekolah rendah serta 4 buah sekolah menengah. Antara sekolah yang turut serta adalah SK Agama (M.I.S) Bintulu, SK Asyakirin, SK Bintulu, SJK (C) Chung Hua, SK Kidurong, SK Tanjung Batu, SMK Baru, SMK Bintulu, SMK Kemena dan SMK Kidurong.
Pencapaian rekod The Longest Readathon ini tidak hanya menjadi bukti komitmen UPMKB terhadap usaha memupuk budaya membaca, tetapi juga menyuntik inspirasi kepada masyarakat untuk terus menjadikan amalan membaca sebagai sebahagian daripada gaya hidup.
Pengiktirafan tersebut telah diumumkan semasa Majlis Penutupan LitFest2024 pada 15 September yang lalu. Tetamu-tetamu kehormat yang hadir ke majlis penutupan ialah YBhg. Dato Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah Kampus UPMKB, YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan Encik Edwin Yeoh Tiong Chin, MBR Official, Malaysia Book of Records.
Selain itu, majlis penutupan turut diisi dengan Forum: Jelajah Ilmu Melalui Buku yang menampilkan Encik Jaafar bin Hamdan, Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dan Encik Ahmad Faizal bin Osman @ Cikgu Emmet sebagai panel forum bagi membincangkan situasi budaya membaca pada masa kini dengan perubahan teknologi yang pesat. Di samping itu, sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Poster Buku Kegemaran Saya yang terbahagi kepada kategori sekolah rendah serta sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi telah disampaikan oleh YBhg. Dato Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM.
Sepanjang festival ini, beberapa pengisian sampingan turut diadakan seperti Bengkel Penulisan Bengkel Buku Ilmiah dan Artikel Jurnal Terindeks serta Pertandingan Poster Buku Kegemaran Saya. Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak turut mengadakan pelbagai aktiviti yang menarik bersempena LitFest 2024 ini seperti Santai Sastera Deklamasi Puisi, Pertandingan Teka Silang Kata, Pertandingan Melarik Puisi, Program 5 Minit Membaca sempena Dekad Membaca Kebangsaan serta pameran dan jualan buku.
Dengan pencapaian ini, LitFest 2024 diharapkan akan terus menjadi platform penting dalam menyemarakkan minat membaca serta membina masyarakat yang lebih berilmu dan berwawasan.
Date of Input: 13/01/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia