UPMKB MEMBERI AUTONOMI KEPADA MAHASISWA UNTUK TERUS AKTIF BERPERSATUAN DI KAMPUS | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » UPMKB MEMBERI AUTONOMI KEPADA MAHASISWA UNTUK TERUS AKTIF BERPERSATUAN DI KAMPUS

UPMKB MEMBERI AUTONOMI KEPADA MAHASISWA UNTUK TERUS AKTIF BERPERSATUAN DI KAMPUS

BINTULU, 11 NOV – Bengkel Pemantapan Kesatuan Mahasiswa 2025 telah berjaya dianjurkan oleh gabungan Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Bintulu (MPP UPMKB) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Kolej, Majlis Perwakilan Fakulti dan Putra President Union pada 17 dan 18 Januari 2025.

Program ini diselaraskan dengan salah satu daripada 11 Agenda Utama Kementerian Pengajian Tinggi, iaitu Pemerkasaan Mahasiswa, yang memberi tumpuan kepada penubuhan Kesatuan Mahasiswa Kampus Bintulu. Bermula Semester Kedua Sesi Akademik 2024/2025, Kesatuan Mahasiswa akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan kelulusan aktiviti pelajar.

Bengkel ini melibatkan penyertaan seramai 66 orang pelajar yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar, Majlis Perwakilan Kolej, Majlis Perwakilan Fakulti, serta Presiden dan Timbalan Presiden setiap kelab di UPMKB.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang bengkel selama dua hari, termasuk perbincangan prosedur kelulusan dan pelaksanaan aktiviti pelajar. Menurut Muhammad Hafidz Danial Mohd Yazid, wakil Majlis Perwakilan Pelajar UPMKB, peserta bengkel didedahkan kepada pengurusan kertas kerja, kajian dana yang wajar diluluskan bagi setiap program, dan simulasi awal berkaitan proses pengurusan aktiviti oleh Kesatuan Mahasiswa. Selepas bengkel ini, Kesatuan Mahasiswa yang terdiri daripada pelajar diberi autonomi untuk meluluskan aktiviti pelajar.

Turut hadir sebagai penceramah utama ialah Cik Nurul Syahmah Binti Matsah, Pegawai Eksekutif Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB, yang memberikan panduan berguna kepada peserta dalam memperkukuhkan kefahaman mereka terhadap tanggungjawab dan tugas Kesatuan Mahasiswa.

Penubuhan Kesatuan Mahasiswa di UPMKB ini turut menyokong pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada tahun 2024, yang menjadi salah satu harapan Menteri Pengajian Tinggi dalam usaha memperkasakan mahasiswa.

Date of Input: 24/01/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/5:5:46:52~noCache