UPMKB PERKASA PENGELUARAN PADI DI GEDONG DENGAN AGRIHUB@ GEDONG DAN TEKNOLOGI PERTANIAN PINTAR | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » UPMKB PERKASA PENGELUARAN PADI DI GEDONG DENGAN AGRIHUB@ GEDONG DAN TEKNOLOGI PERTANIAN PINTAR

UPMKB PERKASA PENGELUARAN PADI DI GEDONG DENGAN AGRIHUB@ GEDONG DAN TEKNOLOGI PERTANIAN PINTAR

BINTULU: Teknologi pertanian pintar dan amalan pertanian mampan akan digunakan untuk memperbaiki kualiti dan kuantiti pengeluaran padi tempatan di bawah Projek AgriHub@ Gedong di Lubok Punggor, Gedong.
Ketua Projek AgriHub@ Gedong Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini berkata, projek ini adalah sebahagian daripada usaha Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dalam memanfaatkan teknologi pertanian pintar ini.
Beliau yang juga Pengarah Kampus UPMKB berkata, Projek AgriHub@ Gedong merupakan inisiatif yang diamanahkan oleh kerajaan Sarawak kepada UPMKB untuk mentransformasikan industri penanaman padi di Lubok Punggor Gedong.
Usaha ini bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran dan produktiviti padi selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Gedong sebagai kawasan strategik pengeluaran padi utama di Sarawak, ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan dua unit jentera padi daripada syarikat TIMOR Enterprise Sdn Bhd yang diwakili Timbalan Pengurus Besarnya Sharifudin Nazri di Lubok Punggor Gedong baru-baru ini.
Sumbangan jentera tersebut terdiri sebuah `KUBOTA Combined Harvester dan `KUBOTA Rice Transplanter yang bertujuan untuk menyokong usaha transformasi pertanian di kawasan Gedong.
Shahrul berkata, sumbangan ini mencerminkan komitmen bersama antara UPMKB dan TIMOR Enterprise dalam memajukan sektor pertanian khususnya dalam memperkasa pengeluaran padi melalui penggunaan teknologi moden dan amalan pertanian pintar.
Katanya, pihaknya berharap jentera ini akan membantu mempercepatkan usaha dalam mencapai objektif tersebut dan kita amat berterima kasih kepada TIMOR Enterprise atas sokongan yang diberikan.
Tambahnya, Projek AgriHub@ Gedong juga diharapkan menjadi pemangkin kepada pengembangan dan teras kejayaan inisiatif sektor pertanian padi di Sarawak melalui kerjasama antara universiti, industri dan masyarakat setempat.
Sempena penyerahan sumbangan jentera itu, demonstrasi cara penuaian padi menggunakan KUBOTA Combined Harvester telah dilakukan oleh Mohd Shah Effendi Saidin yang pakar mengendali jentera itu di tapak projek AgriHub@ Gedong.
Demonstrasi itu turut memberi peluang kepada yang hadir melihat sendiri keberkesanan teknologi tersebut dalam meningkatkan kecekapan proses penanaman padi.

Turut hadir Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Gedong Tamida Daadi, Pegawai Tadbir Khas Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA) Anuar Daan, Ketua Kaum Kampung Lubok Punggor Zakaria Lasit, penduduk kampung dan ahli projek AgriHub@ Gedong.

Date of Input: 13/01/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:1:24:39~noCache