UPMKB PERKUKUH JARINGAN GLOBAL BERSAMA DELEGASI SHANDONG, CHINA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » UPMKB PERKUKUH JARINGAN GLOBAL BERSAMA DELEGASI SHANDONG, CHINA

UPMKB PERKUKUH JARINGAN GLOBAL BERSAMA DELEGASI SHANDONG, CHINA

BINTULU, 17 April 2025 – Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) terus memantapkan kedudukannya dalam arena pendidikan tinggi antarabangsa menerusi kunjungan rasmi delegasi dari Shandong Cultural, Tourism and Creative Company Education Department, China yang berlangsung dari 15 hingga 17 April lalu.

Delegasi yang diketuai oleh Encik Wang Yanzhen bersama lima orang wakil telah mengadakan sesi perbincangan strategik bersama Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS), UPMKB bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan, pertukaran budaya serta akademik.

Antara hasil utama daripada pertemuan tersebut ialah pelaksanaan program akademik bersama yang melibatkan program Sarjana Ekonomi dan Sarjana Tenaga Boleh Diperbaharui. Program ini akan dilaksanakan melalui pertukaran tenaga pengajar serta pembangunan kurikulum secara bersama, selaras dengan usaha UPMKB untuk memperluas kandungan pengajaran yang bertaraf global.
Selain itu, kedua-dua institusi turut bersetuju melaksanakan program pertukaran pelajar di mana UPMKB bakal menerima kehadiran pelajar dari China melalui program lawatan jangka pendek. Inisiatif ini dijangka memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar, memperkukuh kemahiran komunikasi silang budaya serta meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran kerja global.

Dalam usaha memperkasakan pembangunan profesional pelajar dan staf, perbincangan juga meliputi penganjuran bersama bengkel dan latihan dalam bidang pelancongan, ekonomi dan kelestarian. Bagi memastikan kesinambungan dan impak jangka panjang, kedua-dua pihak turut bersetuju menubuhkan rangka kerja rasmi sebagai asas kerjasama strategik berterusan.

Dekan FKPS, dalam kenyataannya, menegaskan bahawa inisiatif ini selari dengan misi Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengantarabangsakan institusi pendidikan tinggi tempatan serta melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global.

Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang kepada mobiliti dan pembangunan akademik pelajar, malah turut memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China melalui pendekatan pendidikan dan pertukaran budaya, katanya.

Delegasi Shandong turut menyatakan kekaguman terhadap pencapaian akademik serta persekitaran pembelajaran di UPMKB, dan menzahirkan keyakinan bahawa hubungan yang terjalin ini akan terus berkembang menjadi kerjasama jangka panjang yang saling menguntungkan.

Dengan termeterainya jalinan ini, UPMKB memperkukuh komitmennya dalam memperluas jaringan akademik antarabangsa, sekaligus menyokong aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serantau menjelang tahun 2030.

Date of Input: 17/04/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:4:42:19~noCache