KUCHING: Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak bagi tahun 2024 menyaksikan sebanyak 14 anugerah disampaikan kepada penerimanya bagi 14 kategori.
Anugerah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada majlis perhimpunan di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini hari ini yang turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Antara anugerah yang disampaikan adalah Anugerah Pencapaian Penyelidikan dan Pembangunan (Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini), Anugerah Penjawat Awam Islam (Datu Abdullah Julaihi), Anugerah Penjawat Awam Bukan Islam (Dr Les Met), Anugerah Saudara Kita Lelaki (Mohd Chathazman Abdullah), Anugerah Saudara Kita Perempuan (Alizawati Abdullah@Alice Mujan Anyi) dan Anugerah Sukarelawan (Iqbal Abdollah).
Lagi disampaikan Anugerah Belia (Mohamad Akram Mohamed Karim), Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Masjid (Masjid Al-Hidayah Kampung Bako, Kuching), Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Surau (Sural Darul Mukmin, Kampung Riam Jaya, Miri), Anugerah Sekolah Menengah Agama (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi, Kuching) dan Anugerah Sekolah Rendah Agama (SKA Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Kuching).
Turut disampaikan Anuegrah Pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (Amirul Adib Seman), Anugerah Pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (Selina Ling Abdul Hamid) dan Anugerah Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (Awang Muhammad Hazim Syazwan Awang Nazri).
Dalam ucapannya, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha memberi penghargaan kepada Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi atas kesudian hadir pada majlis tersebut.
Katanya kehadiran Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah sudah pasti menambahkan lagi kemeriahan dan seri majlis tersebut.
Beliau turut memberi penghargaan kepada Premier serta isteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang yang turut hadir pada majlis penting ini.
Dalam ucapannya Misnu mewakili Majlis Islam Sarawak turut menyatakan sokongan mereka kepada usaha Kerajaan Sarawak dalam membangunkan negeri ini.
Antaranya Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan bidang pertanian menjadi antara fokus utamanya untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan bersih menjelang tahun 2030.
Majlis Islam Sarawak dan seluruh umat Islam katanya akan memastikan setiap umat Islam terlibat dalam usaha Kerajaan Sarawak ini.
Beliau turut menyeru kepada semua terutama umat Islam untuk bersatu memastikan perpaduan dalam kepelbagaian melalui sambutan Ma’al Hijrah ini.
Umat Islam katanya adalah umat yang berjiwa besar, optimis dan progresif dan beliau berharap Islam akan terus dipandang indah, bak bunga mekar di taman, baunya semerbak.
Date of Input: 09/07/2024 | Updated: 09/07/2024 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia