BINTULU, 20 Jan – Aplikasi KitarNow kini diperkenalkan sebagai platform digital percuma yang dibangunkan bagi menggalakkan amalan kitar semula yang lebih tersusun, boleh dijejaki, dan berasaskan data, sekali gus menyokong usaha pengurusan sisa mampan di Bintulu dan Sarawak.
Pengasas dan Ketua Projek KitarNow, Dr Keeren Sundara Rajoo, yang juga Ketua Laboratori Biodiversiti Borneo, Institut Ekosains Borneo (IEB), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), berkata KitarNow dibangunkan untuk menyelaras aktiviti kitar semula yang selama ini berlaku secara tidak berstruktur dan sukar direkod.
Menurut beliau, platform ini menghubungkan penjana sisa boleh kitar semula dan pengitar semula secara terus melalui dua jenis akaun utama iaitu Akaun Seller dan Akaun Buyer, bagi memudahkan penyelarasan kutipan serta menghasilkan rekod digital yang boleh digunakan untuk pelaporan dan perancangan.
Pelancaran KitarNow telah diadakan bersempena program Towards Zero Waste in Bintulu: Youth Environmental Empowerment 2026, anjuran UPMS dengan kerjasama Bintulu Development Authority (BDA) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu, yang memfokuskan pemerkasaan belia dan komuniti dalam amalan pengasingan sisa, kitar semula serta pengkomposan sisa makanan.
Pengarah UPMS, Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini, berkata inisiatif tersebut mencerminkan komitmen UPMS untuk melangkaui peranan akademik semata mata dengan menterjemahkan pengetahuan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat dan komuniti setempat.
“Program ini menunjukkan bagaimana universiti boleh menjadi pemangkin perubahan melalui inovasi yang boleh digunakan oleh masyarakat. Usaha seperti ini penting kerana kelestarian bukan hanya satu konsep, tetapi memerlukan sistem, sokongan dan penglibatan semua pihak untuk memastikan perubahan yang berterusan,” katanya.
Setiausaha BDA, Wan Ibrahim Wan Ali, berkata penglibatan BDA dalam inisiatif tersebut selari dengan aspirasi menjadikan Bintulu sebuah bandar yang inklusif, berdaya huni dan mampan, serta hab perindustrian rendah karbon.
“Budaya masyarakat yang menghargai sumber dan mengurangkan sisa perlu dibina melalui pendekatan yang konsisten dan sistematik. BDA menyokong pelaksanaan program ini melalui peruntukan geran kepada UPMS kerana ia membantu memperkukuh ekosistem pengurusan sisa di peringkat komuniti, selain membuka ruang pendidikan dan kerjasama jangka panjang,” katanya.
Pembangunan KitarNow dibiayai melalui Sumbangan Belanjawan Tambahan Kerajaan Jepun menerusi Asia Pacific Telecommunity (APT) dengan sokongan BDA, sekali gus memperkukuh keyakinan antarabangsa terhadap keupayaan UPMS memacu penyelesaian pengurusan sisa berasaskan teknologi dan data di peringkat tempatan.
Sehingga kini, pelaksanaan awal KitarNow turut disokong oleh lebih 15 organisasi di Bintulu merangkumi sektor perhotelan, industri dan agensi komuniti, antaranya Fairfield by Marriott Bintulu Paragon, Parkcity Everly Hotel Bintulu, OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd, Jabatan Penjara Malaysia Pusat Koreksional Bintulu, serta PPWS Daerah Bintulu/Tatau.
Selain itu, sebanyak 12 buah sekolah turut terlibat dalam inisiatif ini, dengan setiap sekolah menerima sebuah tablet Samsung bagi memastikan akses khusus kepada aplikasi KitarNow dan memudahkan integrasi rekod kitar semula secara harian di peringkat sekolah.
Date of Input: 21/01/2026 | Updated: 21/01/2026 | lanz
MEDIA SHARING