BINTULU: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak terus meluaskan jaringan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi apabila mengadakan sesi libat urus bersama Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), baru-baru ini.
Sesi pada 26 Jun lalu bagi memperkasakan pembangunan bakat, kepimpinan belia dan modal insan, membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan potensi kerjasama dalam pelbagai bidang yang mampu menyokong agenda pembangunan Sarawak, khususnya melibatkan pembangunan mahasiswa dan komuniti setempat.
Delegasi AZAM diketuai Pengurus Seksyen Komunikasi Strategik, Media dan Hubungan Belia Mohd Hassnal Hakim Junaidi, manakala pihak UPMS diwakili Pensyarah Kanan Dr Alvin Lim Teik Zheng.
Antara fokus perbincangan adalah pembangunan kepimpinan belia, komunikasi strategik, penyelidikan, bioteknologi, literasi digital, pembangunan komuniti serta pembangunan bakat mahasiswa.
Dalam sesi sama, AZAM turut memperkenalkan hala tuju baharunya sebagai organisasi komunikasi yang mengangkat pendekatan Komunikasi Penglibatan bagi memperkasakan masyarakat menerusi komunikasi, pembangunan kapasiti dan perkongsian ilmu.
Selain itu, AZAM berkongsi beberapa inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan termasuk Piala Cabaran Debat Premier Sarawak 2026, pertandingan debat antara universiti yang bertujuan melahirkan mahasiswa berfikiran kritis, berkemahiran berhujah serta mempunyai ciri kepimpinan dan komunikasi yang mantap.
Turut diperkenalkan adalah Kelab Toastmasters AYS, platform pembangunan pengucapan awam dan kepimpinan yang telah melahirkan ramai belia berkeyakinan tinggi serta diiktiraf sebagai 'Distinguished Club' di bawah Toastmasters International.
Mohd Hassnal berkata, kerjasama antara institusi pendidikan dan organisasi pembangunan penting bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kemahiran insaniah yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan.
"UPMS mempunyai kekuatan dalam bidang penyelidikan, bioteknologi dan pembangunan modal insan, manakala AZAM berpengalaman dalam pembangunan belia, komunikasi strategik serta pembangunan kapasiti," ujarnya.
Justeru itu katanya, gabungan kepakaran ini mampu menghasilkan lebih banyak program bernilai tambah yang memberi manfaat kepada mahasiswa, komuniti dan pembangunan Sarawak secara keseluruhannya.
Beliau dalam pada itu berharap agar perbincangan tersebut menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan lebih banyak program berimpak tinggi yang memfokuskan kepada pembangunan bakat, kepimpinan, komunikasi, inovasi, kesukarelawanan dan pemindahan ilmu.
Beliau menambah, kerjasama sedemikian diyakini dapat meluaskan peluang pembelajaran di luar bilik kuliah dan dalam masa sama meningkatkan pembangunan sahsiah mahasiswa serta melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan berfikiran kritis.

Date of Input: 01/07/2026 | Updated: 01/07/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia