BULAN SINERGI PUTRA@UPM SARAWAK MERANCAKKAN PROGRAM BERIMPAK SEPANJANG JUN 2026 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » BULAN SINERGI PUTRA@UPM SARAWAK MERANCAKKAN PROGRAM BERIMPAK SEPANJANG JUN 2026

BULAN SINERGI PUTRA@UPM SARAWAK MERANCAKKAN PROGRAM BERIMPAK SEPANJANG JUN 2026

BINTULU, 20 Jun – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan kelestarian masa hadapan menerusi penganjuran Bulan Sinergi PUTRA@UPM Sarawak 2026 yang berlangsung sepanjang 1 hingga 30 Jun 2026.
 
Mengangkat tema “Daripada Kampus kepada Impak Nasional dan Global: Sinergi Menjana Masa Hadapan Mampan”, penganjuran ini menjadi platform untuk menghubungkan kepakaran universiti dengan keperluan masyarakat melalui pelbagai program berteraskan lima fokus utama, iaitu Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kesihatan Planet dan Kelestarian, Kesohoran Global, Kesejahteraan Warga serta Jiwa Putra.
 
Pelbagai aktiviti dan program berimpak tinggi telah disusun sepanjang bulan ini bagi melibatkan warga universiti serta komuniti setempat. Antaranya ialah Saringan Kesihatan UPMS, Gerak Sihat@FSPH, Pameran Sinergi PUTRA, Walk-In@UPMS 2026 dan Open Day PPP@UPMS, Kolokium Sinergi PUTRA, Program Tree Planting@FSPH, Jiwa Putra@UPMS, LaTahzan@PPL, Townhall Planetary Health and Sustainability, Townhall Pengarah UPMS, serta Jualan Hasil Pertanian dan Produk UPM.
 
Penganjuran Bulan Sinergi PUTRA bukan sekadar menghimpunkan pelbagai aktiviti, malah menjadi medan memperkukuh budaya kolaborasi dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti. Pada masa yang sama, program ini membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat peranan dan sumbangan UPM Sarawak dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi serta pembangunan komuniti.
 
Melalui pendekatan yang menyepadukan ilmu, kepakaran dan penglibatan komuniti, Bulan Sinergi PUTRA@UPM Sarawak 2026 mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan impak yang lebih luas, selaras dengan aspirasi untuk menjadi institusi yang bukan sahaja cemerlang di peringkat nasional, malah terus menonjol di persada global.
 
Orang ramai dijemput untuk turut serta memeriahkan pelbagai program yang dianjurkan dan bersama-sama menyemarakkan semangat sinergi ke arah membina masa hadapan yang lebih mampan dan sejahtera.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 22/06/2026 | Updated: 22/06/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
W, (02:36:08am-02:41:08am, 25 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]