UPM KAMPUS BINTULU DIJENAMA SEMULA SEBAGAI UPM SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » UPM KAMPUS BINTULU DIJENAMA SEMULA SEBAGAI UPM SARAWAK

UPM KAMPUS BINTULU DIJENAMA SEMULA SEBAGAI UPM SARAWAK


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan dan menjenamakan semula Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu sebagai UPM Sarawak. Foto Farhan Danial (TVS)

KLANG, 30 Jun: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan dan menjenamakan semula Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu sebagai UPM Sarawak.

Sultan Sharafuddin, sebagai Tuanku Canselor UPM, dalam titahnya menyifatkan penjenamaan semula itu sebagai langkah strategik UPM dalam mengembangkan peranannya dan selaras dengan sambutan 50 tahun penubuhan UPM di Sarawak.

“Beta amat berbangga dengan pencapaian UPM Kampus Bintulu yang bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang pertanian, perhutanan, dan keterjaminan makanan, tetapi juga muncul sebagai pemangkin pembangunan negara di Sarawak, serta menjadi institusi berdaya saing di rantau Borneo dan antarabangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Pengisytiharan UPM Sarawak di Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi juga hadir.

Hadir bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Baginda dalam titahnya turut mengucapkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada UPM bagi menjayakan penjenamaan semula itu.

“Sokongan padu daripada pihak kementerian amat penting dalam memperkukuh peranan institusi pengajian tinggi negara, khususnya dalam memperluas akses kepada pendidikan berkualiti dan memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah agar komitmen ini dapat diteruskan untuk pembangunan bakat dan kepakaran bagi memajukan sosioekonomi negara, terutama di Sarawak menerusi Pelan Tindakan Keterjaminan Makanan UPM.

“Beta mendoakan agar Universiti Putra Malaysia Sarawak akan terus cemerlang dalam usahanya memperkasa pendidikan tinggi, penyelidikan, dan pembangunan masyarakat demi memartabatkan kecemerlangan bangsa dan negara seiring dengan matlamat dan hala tuju Universiti Putra Malaysia,” titah baginda. – TVS

Date of Input: 03/07/2025 | Updated: 03/07/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/5:7:38:18~noCache