MIRI, 8 Feb: Pelajar Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menyifatkan Program UPMS Sinar Harapan sebagai platform bermakna yang bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anak yatim, malah membentuk nilai kemanusiaan dan kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa.
Pelajar UPMS, Nur Elyana Zaidi berkata, program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa untuk menyumbang kepada masyarakat sambil mengharumkan nama universiti.
“Melalui program ini, kami bukan sahaja dapat memperkenalkan UPMS kepada komuniti, malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan organisasi lain. Paling menyentuh perasaan apabila melihat anak-anak seawal tujuh dan lapan tahun memikul cabaran hidup yang besar, sekali gus menyedarkan kami untuk lebih bersyukur.
“Saya berharap program ini dapat diperluaskan bukan sahaja di Sarawak, malah ke peringkat nasional agar lebih ramai anak-anak memerlukan dapat dibantu.,” katanya kepada TVS di sini, hari ini.
Sementara itu, Nurul Iman Muhammad Khairi berpendapat, penyertaannya dalam program berkenaan membuka mata mahasiswa bahawa anak-anak yatim bukan hanya memerlukan sokongan kewangan, tetapi juga sokongan emosi dan sosial.
“Melalui aktiviti emosi, sosial, seni kraf, kemahiran, pendidikan dan sukan, kami dapat melihat sendiri kegembiraan mereka berinteraksi bersama kami. Program ini bukan sahaja membantu anak-anak yatim, malah mendidik pelajar universiti untuk lebih peka terhadap golongan kurang bernasib baik,” ujarnya.
Bagi Rosicky Balan Reji pula, program tersebut memberi manfaat menyeluruh kepada pelajar, komuniti dan anak-anak di Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup.
“Sebagai pelajar, kami memperoleh pengalaman baharu dalam menguruskan program dan memahami keperluan komuniti setempat. Saya berharap program ini diteruskan dan menjadi contoh kepada universiti lain untuk turut melaksanakan program khidmat masyarakat seperti ini,” katanya.
Program UPMS Sinar Harapan membuktikan peranan mahasiswa bukan sahaja sebagai penuntut ilmu, malah sebagai agen perubahan sosial yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.- TVS



