SURABAYA, INDONESIA, 19 April – Seramai 12 pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan (DKHP) daripada Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dengan kerjasama Kelab Perikanan dan Sains Haiwan (KESPH), telah menyertai Program Student Outbound International Community Engagement (ICE) 2026 yang telah berlangsung dari 11 hingga 19 April. Program ini turut disertai oleh pegawai pengiring, Prof. Madya Dr. Juriah Kamaludeen, dan dilaksanakan sebagai inisiatif kolaborasi antarabangsa bersama 120 orang pelajar dari Universitas Airlangga, Indonesia.
Sepanjang program yang berlangsung di tiga kawasan berbeza di Tuban iaitu Semanding, Bancar dan Kerek, komponen Perkhidmatan Veterinar Komuniti menjadi teras utama aktiviti praktikal. Pelajar didedahkan kepada amalan pencegahan penyakit ternakan melalui pelaksanaan vaksinasi, pemberian suntikan vitamin serta penyahcacingan yang diselia oleh doktor veterinar dan pegawai pembantu veterinar. Selain itu, pelajar turut mempraktikkan teknik pengekangan haiwan, pemilihan laluan suntikan yang tepat, serta penentuan dos yang sesuai, selaras dengan piawaian profesional, kebajikan haiwan dan protokol biosekuriti.
Selain itu, pelajar memperoleh pendedahan menyeluruh terhadap sistem penternakan tempatan di Tuban yang masih berteraskan konsep sara diri dan berskala kecil. Ternakan seperti lembu, kambing dan biri-biri dipelihara berhampiran kawasan kediaman, mencerminkan penglibatan langsung komuniti dalam sektor pertanian. Pelajar turut mengenal pasti pelbagai baka ternakan seperti lembu Bali, kacukan Limousin dan Simmental, serta kambing Katjang dan Peranakan Etawah (PE), di samping memahami kelebihan setiap baka dari segi ketahanan, produktiviti dan kesesuaian dengan persekitaran tropika.
Dari aspek pemakanan, sistem “cut-and-carry” diamalkan secara meluas, di mana rumput segar seperti rumput gajah, rumput guinea dan rumput kuda dibawa ke kandang setiap hari. Penggunaan sumber tambahan seperti sisa kacang soya dan sisa tanaman jagung turut diperhatikan sebagai strategi meningkatkan nilai nutrisi makanan ternakan. Pelajar juga meninjau amalan pengurusan sisa, termasuk kaedah pembakaran yang digunakan bagi mengurangkan bau serta mengawal perosak dan ektoparasit.
Lawatan ke pasar haiwan di Sumberan turut memberikan pendedahan kepada sistem ekonomi dan perdagangan tradisional masyarakat setempat. Aktiviti jual beli ternakan dijalankan secara bersemuka dengan proses tawar-menawar yang mencerminkan hubungan sosial dan kepercayaan dalam masyarakat setempat. Pasar ini juga berperanan sebagai pusat pembiakan ternakan lembu, di mana proses pengawanan dan pemilihan baka dilaksanakan, sekali gus menunjukkan integrasi antara aktiviti ekonomi dan pengurusan ternakan secara praktikal.
Perbandingan antara sektor penternakan di Indonesia dan Malaysia turut diketengahkan, khususnya dari segi skala operasi, tahap penggunaan teknologi serta kawalan terhadap ubat-ubatan dan suplemen. Perbezaan ini memberikan peluang pembelajaran yang signifikan kepada pelajar dalam memahami kepelbagaian sistem dan menilai pendekatan yang paling sesuai mengikut konteks.
Dalam masa yang sama, program ini turut menjadi platform penting bagi pengukuhan hubungan institusi melalui mesyuarat strategik antara Universitas Airlangga dan UPMS. Perbincangan awal berkaitan Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, inovasi, mobiliti pelajar dan staf, serta pembangunan program akademik bersama. Langkah ini mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperluaskan jaringan antarabangsa dan meningkatkan kualiti pendidikan serta penyelidikan.
Dari sudut penglibatan budaya, pelajar turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat melalui aktiviti sosial, permainan tradisional seperti baling selipar, serta lawatan ke warung dan kawasan sekitar. Mereka juga didedahkan kepada variasi bahasa tempatan seperti penggunaan istilah “rek”, “cak” dan “lek”, yang memperkayakan kemahiran komunikasi dalam konteks budaya berbeza. Pengalaman mencuba makanan tempatan seperti soto lamongan dan bothok alur, serta penglibatan dalam seni tradisional seperti gamelan dan wayang kulit turut menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam terhadap warisan budaya Indonesia.
Lawatan ke muzium dan sesi city tour di Surabaya melengkapkan pengalaman pembelajaran dengan memberikan perspektif sejarah, sosial dan budaya yang lebih luas. Penggabungan elemen akademik, praktikal dan budaya ini telah berjaya membentuk jaringan profesional serta hubungan persahabatan yang kukuh antara peserta dari kedua-dua negara.
Secara keseluruhannya, Program ICE 2026 membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam melahirkan pelajar yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing di peringkat global. Program ini bukan sahaja meningkatkan kompetensi teknikal dalam bidang kesihatan haiwan dan penternakan, malah membentuk pemikiran kritikal, daya adaptasi serta kesedaran budaya. Selain itu, dapatan dan pengalaman yang diperoleh berpotensi menyumbang kepada pembangunan penyelidikan masa hadapan, khususnya dalam aspek kelestarian penternakan, pengurusan sumber dan cabaran semasa seperti kawalan penyakit.
Program ini sekali gus membuka laluan kepada kerjasama berterusan antara institusi, termasuk peluang mobiliti pelajar dan staf, penyelidikan bersama serta pembangunan inisiatif akademik yang lebih progresif dan berimpak tinggi pada masa hadapan.
Updated:: 29/04/2026 [lanz]

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia