BINTULU – Program Putra StartSmart Entrepreneur 2026 yang dianjurkan oleh pelajar kursus QKH2104 Usahawan Siswa (Kumpulan 1), Semester Kedua, Sesi Akademik 2025/2026 dari Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) berjaya menghimpunkan lebih 80 orang pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 dari SMK Asyakirin dalam satu inisiatif yang bertujuan memupuk minat terhadap bidang keusahawanan dalam kalangan generasi muda. Program ini pada masa yang sama turut memberi peluang kepada pelajar universiti merancang serta melaksanakan program keusahawanan bersama komuniti sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran secara praktikal.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian termasuk ceramah keusahawanan yang disampaikan oleh pensyarah UPMS, aktiviti business games yang bersifat interaktif. Pendekatan seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami asas pembangunan idea perniagaan, di samping meningkatkan kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kerja berpasukan.
Kemuncak program ini adalah pertandingan Business Ideathon. Melalui pertandingan tersebut, sebanyak 14 kumpulan pelajar membentangkan idea perniagaan masing-masing di hadapan panel juri. Setiap kumpulan diberi peluang untuk mengemukakan penyelesaian kreatif terhadap pelbagai isu yang dekat dengan kehidupan seharian, di samping menerangkan konsep perniagaan, sasaran pengguna serta potensi pelaksanaan idea yang dicadangkan.
Sesi penyampaian hadiah diadakan semasa majlis penutupan program yang telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Syukri bin Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMS. Beliau dalam ucapannya berkata bahawa program seperti ini amat bermanfaat kepada para pelajar kerana ia memberi pendedahan awal tentang dunia keusahawanan melalui aktiviti yang bersifat interaktif dan menarik. Beliau turut menyatakan bahawa pendedahan tersebut mampu meningkatkan keyakinan diri pelajar serta menggalakkan mereka berfikir secara kreatif dan inovatif. Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengetua SMK Asyakirin, Encik Ralph Rampai anak Malong.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dan sokongan dalam menjayakan program ini, termasuk Pusat Khidmat Masyarakat DUN N.70 Samalaju, Lorong Coffee (Bintulu), MDS Trading (Bintulu) dan Boulevard Hypermarket (Bintulu), serta semua pihak lain yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kelancaran penganjuran program ini.
Kerjasama yang diberikan oleh pihak sekolah serta sokongan daripada rakan strategik dan penaja dilihat sebagai faktor penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program tersebut, selain membantu memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat dalam usaha memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar.











Updated:: 09/04/2026 [lanz]
MEDIA SHARING