BINTULU: Seramai 200 peserta dijangka menyertai program International Putra Bakti @ ‘Youth Digital 2025’ di TEGAS Digital Innovation Hub Paragon Bintulu pada 1 dan 2 Mac ini.
Penasihat programnya Roslan Ismail berkata, program anjuran Pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 2), Semester Kedua Sesi Akademik 2024/2025, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Sarawak itu akan diadakan secara fizikal dan dalam talian.
Katanya, program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) serta Youth Leadership and Entrepreneurship (YLE2025).
"Bertemakan ‘Empowering Youth: Digital Forward’, program ini menjadi platform bagi belia dan pelajar untuk merancang serta melaksanakan aktiviti berkaitan keusahawanan digital dengan pendekatan pembelajaran ‘Immersive Face-to-Face’ seiring dengan revolusi teknologi 4.0 kecerdasan buatan (AI)," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, matlamat utama program ini adalah untuk memperkasa belia melalui penggunaan teknologi dan inovasi dalam bidang keusahawanan digital.
Tambahnya, usaha ini diharapkan dapat memberi impak besar terhadap perkembangan ekosistem keusahawanan digital dalam kalangan belia serta mempromosikan penggunaan teknologi inovatif dalam pendidikan dan masyarakat.
Menurutnya, sepanjang dua hari penganjuran, peserta akan berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik merangkumi bengkel keusahawanan digital dan sesi perkongsian bersama para penceramah yang pakar dalam industri berkaitan.
"Semua aktiviti ini dirancang untuk menguji daya kreativiti dan kemahiran keusahawanan untuk para peserta dalam era digital," jelasnya.
Justeru katanya, ia merupakan peluang keemasan untuk golongan belia yang berminat untuk menyertainya bagi menimba ilmu dan pengalaman dalam dunia keusahawanan digital.
"Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh menghubungi beliau (Roslan) di talian 012-8992858 dan Pengarah programnya Alfievian Aiere Roslan (019-9555943)," katanya sambil menambah program ini merupakan langkah awal ke arah pembangunan keusahawanan digital yang lebih maju.
Date of Input: 24/02/2025 | Updated: 24/02/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia