SAMALAJU, 20 Jun 2024 – Dalam usaha memantapkan pemahaman industri ferroalloys dan memberi pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai operasi industri kimia, seramai 20 pelajar daripada Program Bacelor Sains Kimia Perindustrian (BSKP), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah menjalankan lawatan industri ke Pertama Ferroalloys Sdn Bhd, sebuah syarikat terkemuka dalam pengeluaran ferroalloys di Sarawak.
Lawatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai operasi industri kimia dan aplikasi nyata daripada teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah. Ketibaan rombongan pelajar disambut mesra oleh Pn. Porida Sumin, Pengurus Sumber Manusia, Pentadbiran dan IT. Dalam ucapan aluan beliau, beliau mengharapkan proses pembelajaran yang kritis daripada para pelajar yang hadir.
Lawatan dimulakan dengan sesi pembentangan mengenai latar belakang syarikat, proses pengeluaran ferroalloys, dan aplikasi produk mereka dalam industri oleh En Damien Mering Kebing, Jurutera Kanan Bahagian Pengeluaran. Pelajar turut diberi peluang untuk bertanya soalan dan berdiskusi secara langsung dengan para profesional dalam bidang tersebut. Selepas sesi pembentangan, pelajar dibawa melawat ke kawasan kilang untuk melihat sendiri proses pengeluaran ferroalloys. Sesi ini dimulakan dengan taklimat keselamatan yang disampaikan oleh pegawai keselamatan kilang.
Pelajar dapat menyaksikan bagaimana bahan mentah diproses dan diubah menjadi produk akhir yang berkualiti tinggi. Pelajar juga diberi penerangan mengenai teknologi terkini yang digunakan dalam proses pengeluaran serta langkah-langkah yang diambil oleh syarikat untuk memastikan kelestarian alam sekitar.
Menurut Dr. Ellie Teo Yi Lih, pensyarah kursus CHY3504 Prinsip Teknologi Kimia yang turut serta dalam lawatan ini, pengalaman praktikal seperti ini sangat penting untuk memperkayakan ilmu pengetahuan pelajar. “Lawatan industri ini bukan sahaja memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar, tetapi juga membuka peluang kepada mereka untuk memahami cabaran dan peluang dalam industri kimia perindustrian. Ia juga dapat memberi inspirasi kepada mereka mengenai prospek kerjaya dalam bidang ini,” katanya.
Pelajar-pelajar yang menyertai lawatan ini turut meluahkan rasa teruja dan gembira dengan pengalaman yang diperoleh. Natasya Bt Rostino, pengarah program, berkata, “Ini adalah pengalaman yang sangat berharga bagi kami. Melihat sendiri proses pengeluaran dan berinteraksi dengan para profesional dalam industri memberikan kami perspektif yang lebih jelas mengenai apa yang kami pelajari.”
Lawatan ini diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan daripada pihak UPMKB kepada Pertama Ferroalloys Sdn Bhd atas kesudian mereka menerima lawatan tersebut. Hadir sama adalah Dr. Omar Faruqi Marzuki dan Dr. Alvin Lim Teik Zheng dari Jabatan Sains dan Teknologi, UPMKB. UPMKB berharap dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan syarikat-syarikat industri bagi manfaat para pelajar di masa hadapan. Secara keseluruhannya, program lawatan industri kali ini bakal diadakan lagi pada tahun hadapan dan terus dijadikan program tahunan agar dapat mengeratkan hubungan UPMKB dan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd.
UPMKB sentiasa menyokong usaha dalam memacu kolaborasi antara akademia dan industri sebagai persediaan kepada pelajarnya untuk menjadi graduan yang boleh menyumbang kepada industri kelak.
Date of Input: 21/06/2024 |
Updated: 21/06/2024 | lanz
MEDIA SHARING