AGRISTEM: MEMUPUK SEMULA MINAT GENERASI MUDA DALAM PERTANIAN DENGAN PENDEKATAN STEM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » AGRISTEM: MEMUPUK SEMULA MINAT GENERASI MUDA DALAM PERTANIAN DENGAN PENDEKATAN STEM

AGRISTEM: MEMUPUK SEMULA MINAT GENERASI MUDA DALAM PERTANIAN DENGAN PENDEKATAN STEM

BINTULU, 28 Februari (Jumaat) – Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) melalui Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) telah menganjurkan Program AgriSTEM, sebuah inisiatif yang bertujuan memperkenalkan pelajar kepada asas pertanian dengan menggabungkan konsep pertanian ke dalam kurikulum STEM. Program ini turut memupuk penghargaan terhadap pengeluaran makanan, kelestarian alam, dan peranan pertanian dalam kehidupan seharian.

Seramai 40 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, yang merupakan ahli Kelab STEM telah mengambil bahagian dalam program ini. Empat modul utama telah disusun bagi memastikan unsur STEM diterapkan dalam setiap aktiviti berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik. Modul-modul ini direka untuk meningkatkan pemikiran kritis serta keupayaan menyelesaikan masalah dalam kalangan pelajar.
 
Sebagai langkah permulaan, Modul 1 - Penanaman Golden Melon dijalankan dalam tiga siri aktiviti, di mana elemen Sains dan Matematik diterapkan secara teori dan praktikal. Modul ini menekankan penggunaan sumber input secara efisien, termasuk (i) pengiraan baja dan racun perosak pada kadar yang betul, (ii) analisis kandungan pH tanah untuk menyesuaikan kesesuaian tanaman, (iii) penentuan jumlah substrat tanah bagi memastikan pertumbuhan optimum dan (iv) pemahaman struktur tanah bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil.
 
Pelaksanaan Modul 1:
📌 Siri 1 - Pembelajaran teori dijalankan pada 18 Disember 2024 dimana pelajar diperkenalkan kepada asas penanaman Golden Melon, termasuk teknik penanaman dan penjagaan tanaman yang betul.
 
📌 Siri 2 - Praktikal & eksperimen dijalankan oleh Penasihat Program Ts. Dr. Shiamala Devi Ramaiya (Bidang Pomologi) pada 16 Januari 2025 di mana aktiviti hands-on dijalankan, melibatkan pengiraan kadar percambahan, pengiraan baja, pembetulan pH tanah, serta pencampuran substrat pada kadar yang tepat. Ceramah kawalan serangga perosak dijalankan oleh Dr. Muhamad Azmi Mohammed (Bidang Entomologi).
 
📌 Siri 3 - Penanaman di Nurseri dijalankan pada 26 Februari 2025 di mana sebanyak 200 poli beg Golden Melon telah ditanam menggunakan kaedah moden dan mampan di nethouse. Selain itu, 2 orang Pegawai Pertanian dari Pusat Latihan Pertanian (PLP) Sg. Sebiew telah berkongsi ilmu dan pengetahuan mengenai cara penanaman pokok buah-buahan serta penjagaan anak pokok yang ditanam.
 
Menurut Ts. Dr. Shiamala Devi Ramaiya, Modul 1 telah menerima sambutan yang amat menggalakkan. Para pelajar seronok menjalankan eksperimen serta merasai sendiri pengalaman menanam Golden Melon buat kali pertama. Ramai yang menyatakan bahawa pengalaman ini menyeronokkan dan membantu mereka mengaplikasikan ilmu STEM dalam situasi dunia sebenar. Pelajar turut teruja menanti hasil tanaman pertama mereka, yang dijangka akan dituai pada penghujung April 2025.
 
Kejayaan penganjuran Program AgriSTEM ini turut mendapat sokongan penuh daripada pihak sekolah, yang melihatnya sebagai platform berkesan dalam membentuk generasi muda yang lebih cakna terhadap industri pertanian. Melalui integrasi sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) dalam pembelajaran pertanian, AgriSTEM berusaha menjadikan sektor ini lebih menarik, relevan, dan bernilai tinggi kepada belia masa kini.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Date of Input: 08/04/2025 | Updated: 08/04/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:10:59:44~noCache