BIIS 2025 PACU KEPIMPINAN BERINTEGRITI SERANTAU DI BORNEO | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » BIIS 2025 PACU KEPIMPINAN BERINTEGRITI SERANTAU DI BORNEO

BIIS 2025 PACU KEPIMPINAN BERINTEGRITI SERANTAU DI BORNEO

KUCHING, 4 Julai: Persidangan Borneo International Integrity Summit (BIIS) 2025 bakal berlangsung pada 29 hingga 30 Julai ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dengan penyertaan lebih 800 peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Acara dwitahunan itu dianjurkan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak dan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dengan kerjasama Konsortium Universiti-Universitas Borneo (KUUB).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata, penganjuran BIIS bertujuan mengangkat nilai integriti dalam pembangunan lestari serta memupuk tadbir urus beretika dan inovasi kepimpinan di rantau ini.

“UNIONS percaya pembangunan insan tidak hanya berlandaskan kemahiran tetapi juga kekuatan jati diri. BIIS bukan sekadar platform intelektual tetapi gerakan kolektif memperkasa integriti demi masa depan Borneo yang telus dan bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Menurutnya, peserta terdiri daripada ahli akademik, penjawat awam, pelajar institusi pengajian tinggi serta pelajar tingkatan enam dari 27 sekolah menengah sekitar Kuching, Kota Samarahan dan Serian.

BIIS 2025 juga disasar memperkukuh reputasi Sarawak sebagai wilayah contoh dalam budaya integriti tinggi dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadualkan merasmikan acara pada 29 Julai.

Sebagai sebahagian daripada program, pameran inovasi akan menampilkan produk dan penyelidikan dari institusi seperti Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Sarawak Skills dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi serantau.

UNIONS menyasarkan BIIS sebagai acara tetap dwitahunan bagi mengekalkan momentum dalam memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus di Borneo.-TVS 

Date of Input: 07/07/2025 | Updated: 07/07/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/9:2:52:10~noCache