BINTULU: Forum Perdana yang mengupas tajuk Kesenian Islam Pencetus Kemakmuran Ummah sempena majlis penutupan Festival Kesenian Islam (iFEST) 2025 edisi ketiga telah diadakan di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) di sini malam tadi.
Barisan ahli panel forum terdiri daripada ilmuwan dan tokoh dakwah terkenal iaitu Profesor Madya Dato Dr Mohd Sukki Othman dan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki dengan moderatornya Profesor Madya Dr Mohd Mursyid Arshad.
Perbincangan forum berkisar kepada peranan kesenian Islam dalam membentuk akhlak, menyatukan masyarakat serta menjadi medium dakwah berkesan pada era teknologi moden.
Mohd Sukki berkata kesenian Islam bukan sekadar hiburan tetapi mempunyai nilai tinggi dalam membentuk jiwa manusia.
“Seni Islam seperti syair, nasyid atau puisi boleh mendidik hati dan menjadi jambatan mendekatkan manusia kepada Allah SWT. Bezanya dengan hiburan semata-mata ialah ia sarat dengan mesej dan nilai yang mendidik,” jelasnya.
Sementara itu, Isfadiah berkata, kepentingan pendekatan kesenian Islam yang mesra perlu kepada generasi muda.
Katanya, kita perlu memanfaatkan platform digital dan media sosial untuk memperluaskan dakwah melalui seni supaya mesej Islam lebih mudah sampai kepada anak-anak muda yang merupakan aset utama ummah.
Dalam pada itu, penutupan rasmi iFEST 2025 tersebut telah disempurnakan Pengarah UPMS Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini.
Berucap pada majlis itu Shahrul berkata, festival ini menjadi wadah penting dalam mengangkat seni Islam sebagai budaya pendidikan dan pembinaan sahsiah mahasiswa.
“Festival ini bukan sahaja mengangkat seni Islam sebagai medium dakwah yang mendidik jiwa, malah turut memperkukuh hubungan warga kampus dengan komuniti setempat," ujarnya.
Beliau berharap iFest akan terus menjadi acara tahunan untuk memartabatkan seni Islam dan membawa keberkatan kepada seluruh ummah.
iFest 2025 menyenaraikan beberapa aktiviti antaranya pertandingan nasyid, kaligrafi khat, syarahan agama, bercerita, memanah, solat dhuha dan sebagainya telah menarik penyertaan ramai pelajar dalam dan luar kampus terbabit termasuk komuniti setempat.
Date of Input: 25/08/2025 | Updated: 25/08/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia