GRADUAN PERLU KEMBANGKAN KEMAHIRAN INSANIAH | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » GRADUAN PERLU KEMBANGKAN KEMAHIRAN INSANIAH

GRADUAN PERLU KEMBANGKAN KEMAHIRAN INSANIAH

BINTULU: Graduan perlu mengembangkan kemahiran insaniah yang merangkumi komunikasi berkesan, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah secara kreatif bagi persediaan menghadapi dunia kerjaya masa depan.

Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Tan Sri Peter Chin berkata majikan mencari seorang pekerja yang melebihi daripada kepakaran teknikal. 

Begitupun, beliau berkeyakinan terhadap Pelan Kerangka Hala Tuju Strategik UPM diilhamkan oleh Naib Canselornya Profesor Dato Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah terus memperkukuh kedudukan UPM sebagai pusat kecemerlangan. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 Sidang 1 di Dewan Sri Kenyalang UPM Kampus Bintulu (UPMKB) hari ini.

Seramai 473 graduan menerima skrol terdiri daripada dua penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), sembilan penerima Ijazah Sarjana, 122 penerima Sarjana Muda dan 340 penerima Diploma pelbagai pengajian.

Turut disampaikan ialah pemenang peringkat universiti Hadiah 'Live Animals Medical Centre' untuk Graduan Terbaik Sarjana Muda tajaan Live Animals Medical Centre, Adika Rahmat Kadondoig dalam pengajian Sarjana Muda Sains Bioindustri dengan Kepujian.

Graduan Terbaik Diploma tajaan Yvonne Sing Sai diberikan kepada Anne Brown dalam pengajian Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan.

Manakala penerima Biasiswa Kursi Tok Nan ialah Benedick Adam Jawan, Farhana Nazwa Fakurrudin dan Zetty Azreen Zaini yang merupakan penuntut pengajian Diploma Pembangunan Manusia dan Mohamad Syukri Mohamad Adnan dalam bidang Sarjana Pembangunan Manusia.

Biasiswa tersebut merupakan usaha sama penubuhan Kursi Tok Nan, UPMKB dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan bagi membantu penganjian anak tempatan dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.

Turut diadakan sempena majlis itu ialah Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM Ke-48 Sidang 1 UPMKB.
 

Date of Input: 05/11/2024 | Updated: 05/11/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/6:2:53:45~noCache