ICOSSH2025 ANGKAT WARISAN ETNIK BORNEO KE PENTAS ANTARABANGSA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » ICOSSH2025 ANGKAT WARISAN ETNIK BORNEO KE PENTAS ANTARABANGSA

ICOSSH2025 ANGKAT WARISAN ETNIK BORNEO KE PENTAS ANTARABANGSA

BINTULU: Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), dengan kerjasama strategik Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, menganjurkan 4th International Conference on Sciences and Humanities (ICOSSH2025) di ParkCity Everly Hotel, Bintulu, pada Isnin.

Mengangkat tema “The Art of Unseen Treasure”, persidangan dwitahunan kali keempat ini mengetengahkan khazanah warisan etnik, budaya dan ilmu masyarakat Borneo yang jarang didedahkan kepada umum.

Lebih 150 peserta, termasuk penyelidik, ahli akademik, pelajar pascasiswazah, agensi kerajaan, sektor swasta dan wakil industri dari dalam serta luar negara, hadir secara fizikal dan dalam talian.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam ucapan beliau, ICOSSH2025 disifatkan sebagai platform penting menghubungkan warisan budaya dengan inovasi, sekali gus mewujudkan ekosistem intelektual yang memberi impak positif melalui pemuliharaan warisan, pembangunan kreatif dan pelancongan lestari.

Naib Canselor UPMS, Dato Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata persidangan ini memperkukuh penyelidikan sosial dan kemanusiaan di Borneo.

Beliau turut mengumumkan kejayaan pengklasifikasian 34 etnik di Sarawak melalui Kursi Penyelidikan Pehin Sri Adenan Satem serta pelancaran Galeri Tok Nan sebagai pusat rujukan utama kajian etnik.

Persidangan ini juga menyaksikan pelancaran dua terbitan baharu iaitu Simbol Budaya 2 dan Herba Perubatan, yang memaparkan hasil penyelidikan berimpak tinggi berkaitan warisan dan pengetahuan tradisional.

Dengan penganjuran ICOSSH2025, UPMS berharap usaha memelihara khazanah budaya etnik dan memperkukuh kerjasama serantau dapat diperkasakan demi pembangunan Sarawak dan Borneo secara lestari.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan; Timbalan Naib Canselor (Industri dan Hubungan Komuniti) UPM, Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharuddin; serta wakil Residen Bintulu, Jeffrey Jalong.-EDISI UKAS

Date of Input: 13/08/2025 | Updated: 13/08/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (08:03:37am-08:08:37am, 17 Aug 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]