SIMPOSIUM antarabangsa iRandau 2025 yang berlangsung di Lebu’Kulit, Sungai Asap, Belaga, Sarawak bermula 1 Oktober lalu dan berakhir hari ini berjaya menghimpunkan lebih 250 peserta dari dalam dan luar negara.
Bertemakan Bridging Gaps, Fostering Sustainability, simposium tahunan anjuran Fakulti Kemanusiaaan, Pengurusan dan Sains Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada bidang sains sosial, ekonomi, pengurusan serta sains teknologi.
Malah turut mengangkat teras pemeliharaan tradisi dan warisan Orang Ulu, pemerkasaan digital belia luar bandar, serta kerjasama akademia dan komuniti.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata, tradisi Randau kini bukan sahaja dikekalkan di rumah panjang, malah telah diangkat ke pentas antarabangsa sebagai identiti budaya dan tarikan pelancongan Sarawak.
“iRandau bukan sahaja mengekalkan keaslian tradisi, tetapi menjadikannya tarikan pelancongan global.
“Ia adalah jambatan yang menghubungkan akar budaya dengan pembangunan moden,” katanya pada majlis penutupan Simposium iRandau 2025 di Belaga, hari ini.
Turut hadir sama Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan; ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon; Pengarah UPMS, Prof. Dr Shahrul Razid Sarbini serta Timbalan Ketua Kampung Lebu’Kulit, Daniel Ding.
Wilson Ugak yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang turut berkata, kerajaan negeri komited merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar Sarawak bukan sahaja pembangunan infrastruktur, tetapi pelaburan masa depan rakyat Sarawak.
“iRandau 2025 membuktikan masyarakat luar bandar berpeluang menceburi keusahawanan digital, penciptaan kandungan dan kepimpinan komuniti,” ujarnya lagi.
iRandau 2025 turut mendapat kerjasama strategik daripada Konsortium Universiti-Universitas Borneo (KUUB), Pusat Belia Antarabangsa, UKAS, Jabatan Penerangan dan sokongan Business Event Sarawak.
Simposium yang dianjur sejak 2019 itu kini semakin berkembang menjadi penjenamaan ilmu yang mengukuhkan peranan universiti sebagai pusat penyelidikan dan rujukan komuniti di Borneo. — Edisi 9
Date of Input: 07/10/2025 | Updated: 07/10/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia