Selepas banjir mula surut, Majlis Perwakilan Kolej (MPK) bersama badan perwakilan pelajar serta pelajar sukarelawan dan Pihak Pengurusan Kolej segera menggerakkan Program Jiwa Putra @ KSR dengan semangat gotong-royong bagi membantu proses pemulihan dan kebersihan di kawasan yang terjejas. Aktiviti ini tertumpu di Pejabat KSR, Blok G dan Blok H yang mengalami kesan paling besar akibat banjir.
Proses pembersihan dilakukan secara menyeluruh, termasuk membersihkan bilik-bilik yang terjejas serta mencuci lantai sehingga semua kesan kotoran hilang, bagi memastikan pelajar dapat kembali ke persekitaran yang selesa dan selamat. Semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat mencerminkan semangat kebersamaan terhadap satu sama lain.
Selain usaha pembersihan, MPK, MPP bersama badan perwakilan pelajar serta pelajar sukarelawan turut bekerjasama membeli dan mengagihkan pek makanan kering kepada pelajar yang masih memerlukan bantuan selepas kejadian banjir. Bagi pelajar yang mengalami kesan lebih teruk akibat bencana ini, sumbangan wang tunai daripada Kelab Pemadam dan waris pelajar UPMKB sendiri telah diberikan sebagai bantuan kewangan untuk meringankan beban mereka.
Pengarah Kampus, YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini dan Pengetua Kolej, YM. Dr Tengku Sh. Marliza Tengku Azmi telah hadir untuk menyampaikan sumbangan ini kepada pelajar kolej yang terjejas, sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap kebajikan mereka.
Usaha gotong-royong ini bukan sekadar membersihkan kesan fizikal banjir, tetapi juga membuktikan betapa kuatnya semangat perpaduan dan sikap tolong-menolong dalam komuniti kolej. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua sukarelawan, penyumbang, dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan misi pasca banjir ini.
Date of Input: 04/02/2025 |
Updated: 04/02/2025 | lanz
MEDIA SHARING