RENTAK BAHARU UPMS! CERAMAH BIORIMBA BONGKAR REALITI HARMONI MANUSIA DAN SANG BUAYA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » RENTAK BAHARU UPMS! CERAMAH BIORIMBA BONGKAR REALITI HARMONI MANUSIA DAN SANG BUAYA

RENTAK BAHARU UPMS! CERAMAH BIORIMBA BONGKAR REALITI HARMONI MANUSIA DAN SANG BUAYA

BINTULU, 1 Julai 2025 – Suasana penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar memenuhi platform Microsoft Teams sempena penganjuran BIORIMBA TALK SERIES 1 2025: Human-Wildlife Conflict – A Practical Guide to Coexistence, yang berlangsung pada pagi Selasa lalu.
 
Program ini merupakan program pertama yang dianjurkan selepas penamaan semula Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) kepada Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS). Ia dianjurkan oleh Kelab FORTRESS dengan kerjasama Seksyen Hutan Nirwana, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, sebagai inisiatif memperkukuh kesedaran berkenaan isu konflik manusia dan hidupan liar di Sarawak.
 
Program dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Prof. Madya Dr. John Keen Chubo, Timbalan Dekan Akademik Dan Hal Ehwal Pelajar, sebelum diteruskan dengan ceramah utama oleh Pn. Lata Anak Jeluing, Pegawai Hidupan Liar dari Sarawak Forestry Corporation. Beliau berkongsi panduan praktikal dan pengalaman lapangan berhubung pengurusan konflik manusia-hidupan liar yang beretika, efektif dan berasaskan sains, termasuk pendekatan pemindahan haiwan liar, penglibatan komuniti setempat serta peranan pendidikan awam khususnya dalam bidang buaya.
 
Sesi ceramah turut disusuli dengan sesi soal jawab secara langsung yang memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi bersama pakar dalam bidang pemuliharaan dan memahami cabaran sebenar pengurusan konflik biodiversiti di lapangan.
 
Menurut Pengarah Program, Adi Mahathir bin Mahadi, Program ini mencerminkan rentak baharu UPMS dalam mengetengahkan isu alam sekitar secara intelektual dan praktikal. Ia bukan sahaja memperkasa pemahaman mahasiswa terhadap konflik antara manusia dan hidupan liar, terutamanya spesies buaya, tetapi program ini turut membina kemahiran pengurusan, komunikasi serta kesedaran akan peranan mereka dalam mendukung kelestarian ekosistem.
 
Sebagai penghargaan, peserta turut menerima e-sijil penyertaan yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan pembangunan portfolio kerjaya mereka. Diharapkan program seperti BIORIMBA TALK SERIES 1 dapat diteruskan sebagai platform pengukuhan jati diri profesional dan sokongan kepada agenda pemeliharaan alam sekitar, selari dengan peranan UPMS sebagai institusi peneraju dalam bidang sains perhutanan dan biodiversiti. 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 04/07/2025 | Updated: 04/07/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/5:13:25:00~noCache