CTN 2025 GAH DI BINTULU, MAHASISWA PENGURUSAN PENTAS JADI NADI KEJAYAAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » CTN 2025 GAH DI BINTULU, MAHASISWA PENGURUSAN PENTAS JADI NADI KEJAYAAN

CTN 2025 GAH DI BINTULU, MAHASISWA PENGURUSAN PENTAS JADI NADI KEJAYAAN

Bintulu, 24 September 2025 – Program Citra Tari Nusantara (CTN 2025) yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dari 22 hingga 24 September 2025 telah berjaya menghimpunkan pelbagai universiti tempatan dan luar negara dalam satu persembahan seni tari yang penuh warna-warni dan berimpak tinggi.
 
Penganjuran ini lebih bermakna apabila pelajar kursus Kokurikulum Berkredit QKB2108 (Pengurusan Pentas) Semester Pertama Sesi Pengajian 2025/2026 turut menjayakan program berprestij ini bersama Pejabat Pengurusan Pelajar UPMS. Mereka memainkan peranan penting dalam pengurusan acara, protokol serta kelancaran keseluruhan program.
 
Pertandingan tahun ini menyaksikan Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan (Anugerah Utama – Platinum), manakala Universitas Borneo Tarakan (UBT), Indonesia muncul Naib Johan dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di tempat ketiga.
 
Pengarah program, Saudara Batista Lian, menegaskan bahawa CTN 2025 bukan sekadar pertandingan seni, tetapi simbol semangat perpaduan serta penghargaan terhadap warisan budaya Nusantara.
 
“Melalui program ini, kita dapat menyaksikan bagaimana seni tari bukan sahaja menjadi medium ekspresi, tetapi juga jambatan penyatuan antara masyarakat pelbagai latar dan budaya. Lebih penting lagi, penglibatan pelajar dalam penganjuran program ini telah menyerlahkan kepentingan kerjasama berpasukan, komunikasi berkesan serta pemantapan etika dan moral dalam menjayakan sebuah acara berskala besar. Saya percaya pengalaman ini bukan sahaja membina keyakinan diri, malah membentuk generasi mahasiswa yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan berjiwa kepimpinan,” katanya.
 
Sementara itu, Ketua Pentadbir, Pejabat Pengurusan Pelajar UPMS, En. Mohamad Syukri Mohamad Adnan, menegaskan bahawa program ini membuktikan peranan mahasiswa bukan hanya terhad kepada bilik kuliah, tetapi juga sebagai penggerak utama dalam menjayakan aktiviti berimpak tinggi.
 
“Penglibatan aktif pelajar QKB2108 dalam menguruskan CTN 2025 adalah bukti bahawa mereka berupaya menggalas tanggungjawab besar dengan penuh dedikasi. Ia bukan sahaja meningkatkan kemahiran kepimpinan dan pengurusan, malah mengukuhkan semangat kebersamaan antara universiti dan masyarakat,” katanya.
 
Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr. Arifin Abdu, dan diserikan lagi dengan persembahan kolaborasi khas peserta pertandingan dari 10 buah universiti-universiti dari Malaysia dan Indonesia bertemakan keharmonian dan kepelbagaian etnik.
 
Program ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran kepimpinan, komunikasi, etika dan profesionalisme dalam kalangan mahasiswa, malah turut menjadi jambatan mengeratkan hubungan antara universiti dan masyarakat. Lebih daripada itu, CTN 2025 menyemarakkan rasa cinta serta kebanggaan terhadap seni, warisan dan identiti bangsa, seiring dengan aspirasi untuk memartabatkan budaya nusantara di persada dunia.
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 02/10/2025 | Updated: 02/10/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (09:24:11pm-09:29:11pm, 04 Oct 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]