Bintulu, 27 Sept – Karnival Perpustakaan Juh Ke Sitok: UPMS For You anjuran Perpustakaan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) berjaya mencatat kejayaan apabila menerima kehadiran kira-kira 300 pengunjung yang memeriahkan suasana di Perpustakaan UPMS.
Program ini turut mendapat suntikan segar dengan kolaborasi pelajar Bakti Siswa QKK2101 Kumpulan 2 UPM Sarawak yang mengadakan Putra Bakti: Protect Our Pets Day. Tidak ketinggalan, rakan strategik iaitu WAZAN, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak UPM dan Perpustakaan Awam Bintulu Development Authority (BDA) turut bersama-sama menjayakan program ini.
Antara aktiviti utama yang diadakan termasuk pameran agensi, gerai jualan serta pertandingan-pertandingan yang mencungkil bakat dan kreativiti seperti Pertandingan Mewarna berkumpulan, Pertandingan Karom duo dan Pertandingan Rekacipta. Pelajar juga menganjurkan pelbagai aktiviti berteraskan kesedaran Penyakit Rabies seperti Pertandingan Poster Digital, Pertandingan Cosplay Kucing, Program Adopsi haiwan, Program Imunisasi haiwan serta permainan sampingan yang menceriakan pengunjung.
Perpustakaan Awam BDA pula mendapat perhatian ramai apabila berjaya mengendalikan segmen Bersama Si Cilik, yang menjadi tumpuan kanak-kanak sepanjang karnival berlangsung.
Dalam ucapan penutup, Pengarah UPM Sarawak, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut.
“Karnival ini bukan sahaja menghubungkan universiti dengan masyarakat, malah memperlihatkan daya kepimpinan, kreativiti dan rasa tanggungjawab sosial pelajar. Saya berharap ia menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif komuniti pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perpustakaan UPMS, Encik Awang Ahmad Faizi Awang Dahlan, berkata karnival berkenaan membuktikan peranan perpustakaan kini semakin luas.
“Perpustakaan bukan sekadar tempat membaca, tetapi ruang inklusif yang mendidik, menghiburkan serta membina jaringan bersama komuniti,” ujarnya.
Kejayaan penganjuran ini membuktikan komitmen UPMS dan para pelajarnya dalam menjadikan perpustakaan bukan sekadar ruang ilmu, tetapi juga pusat komuniti yang inklusif, mendidik dan menyeronokkan.
Date of Input: 14/10/2025 |
Updated: 14/10/2025 | lanz
MEDIA SHARING