KELAB PENYAYANG UPMKB SANTUNI KOMUNITI RPR KIDURONG | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » KELAB PENYAYANG UPMKB SANTUNI KOMUNITI RPR KIDURONG

KELAB PENYAYANG UPMKB SANTUNI KOMUNITI RPR KIDURONG

BINTULU: Program “Seikhlas Kasih Penyayang” telah berjaya dianjurkan oleh Kelab Penyayang UPMKB pada hari Ahad,9 Mac 2025 yang lalu di Kampung RPR Kidurong dengan Kerjasama Jawatankuasa Masjid Al-Mustaqim, RPR Kidurong. Seramai 20 orang ahli Kelab Penyayang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu telah menyertai program yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan komuniti sambil menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan, sekali gus menyemarakkan semangat kasih sayang dan muhibah di Bulan Ramadan.

Program ini mendapat sambutan hangat dari penduduk RPR Kampung Kidurong daripada pelbagai lapisan. Antara aktiviti utama program ini ialah penyediaan bubur lambuk secara bergotong-royong bersama Jawatankuasa Masjid RPR Kidurong. Aktiviti ini bukan sahaja memperlihatkan kerjasama erat antara pelbagai pihak, tetapi juga mencerminkan keindahan budaya bekerjasama dalam masyarakat.
 
Bubur lambuk yang dimasak kemudiannya 300 bekas bubur diagihkan kepada penduduk sekitar kampung, sebagai simbol kemurahan hati dan semangat berkongsi rezeki. Selain itu, program ini turut menyaksikan pengagihan 13 kotak bekalan makanan kepada golongan asnaf di kawasan RPR Kidurong.
 
Bantuan tersebut diharapkan dapat meringankan beban golongan yang memerlukan. Menurut Mohd Arif Hakimi Masta, Pengarah program Seikhlas Kasih Penyayang, usaha ini bukan sahaja untuk membantu dari segi keperluan asas, tetapi juga sebagai tanda kasih sayang dan kepedulian Kelab Penyayang UPMKB terhadap masyarakat setempat.
 
"Program ini adalah peluang untuk kita menzahirkan kasih sayang dan rasa tanggungjawab terhadap mereka yang memerlukan. Semoga usaha ini dapat diteruskan pada masa hadapan," katanya. Sementara itu salah seorang dari penduduk disitu mengucapkan penghargaan kepada pihak UPMKB atas inisiatif ini.
 
“Kami amat berterima kasih kerana program ini memberi manfaat besar kepada penduduk. Selain menerima sumbangan, penduduk juga dapat merasakan keprihatinan anak muda terhadap kebajikan masyarakat,” katanya.
 
Program ini bukan sekadar menyemai nilai kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa, tetapi juga memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti dalam usaha membentuk masyarakat yang lebih penyayang dan prihatin.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 24/03/2025 | Updated: 24/03/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:12:33:03~noCache