BINTULU, 7 Jun 2025 – Suasana mesra dan harmoni memenuhi ruang Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Bintulu (MTS) sempena penganjuran Aktiviti Gotong Royong Kurban 2025 yang berlangsung baru- baru ini.
Program anjuran Pengurusan Maahad Tahfiz Sulaimaniyah Bintulu ini telah berbesar hati menjemput Kelab Putra Al-Ukhuwwah UPMKB (bersama wakil AJK Pusat Islam UPMKB iaitu Encik Mohammad Saufi Bin Mohammad Ramli menghimpunkan ibu bapa pelajar tahfiz, serta masyarakat setempat bertujuan menghayati dan menghidupkan syiar Islam melalui aktiviti ibadah korban, memupuk semangat ukhuwah dan kepedulian sosial serta menghubungkan komuniti universiti dengan institusi pendidikan agama. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah gotong-royong ibadah korban, majlis ramah mesra dan jamuan santai bersama ibu bapa serta AJK MTS dan pembersihan kawasan.
Menurut Presiden Kelab Putra Al-Ukhuwwah UPMKB, Saudara Ikhwan bin Nazri, penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berjiwa besar, prihatin terhadap isu ummah dan bersedia untuk berbakti kepada masyarakat.
Mudir MTS, Abi Wan Ahmad Adzhan bin Wan Samokti berkata, program ini adalah didikan rohani dan jasmani kepada anak-anak tahfiz untuk sentiasa taat kepada seruan Islam dan pada masa yang sama sentiasa mendidik diri agar ikhlas dalam beramal serta berkorban demi agama dan masyarakat.
Proses sembelihan, melapah dan membungkus daging daripada 8 ekor lembu yang telah dikorbankan pada program kali ini selesai pada jam 3 petang dan diagihkan kepada hadirin dan masyarakat setempat sebagai usaha menyantuni golongan memerlukan sempena Hari Raya Aidiladha.
Program ini diharap dapat diteruskan secara berkala sebagai medium untuk memperkukuh ukhuwah, menyebarkan nilai-nilai murni, dan mengembangkan ilmu serta kasih sayang dalam kalangan komuniti secara lebih meluas.
Date of Input: 12/06/2025 | Updated: 12/06/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia