Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak) ke-49 yang berlangsung pada 1 dan 2 November 2025 di Dewan Sri Kenyalang bukan sekadar meraikan kejayaan 556 graduan, tetapi turut menyerlahkan keindahan warisan budaya dan semangat perpaduan masyarakat majmuk Malaysia.
Persembahan pelbagai etnik seperti tarian naga, tarian kipas, muzik tradisional Cina dan nyanyian lagu Melayu oleh pelajar berbangsa India menjadi simbol keharmonian dan kebersamaan di kampus UPM Sarawak.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib, berkata keunikan majlis kali ini terletak pada usaha universiti memupuk penghargaan terhadap seni dan budaya tempatan sebagai asas perpaduan. Beliau menekankan bahawa penglibatan pelajar pelbagai latar belakang dalam persembahan tersebut mencerminkan kekuatan sebenar masyarakat majmuk yang menghormati perbezaan dan bekerjasama ke arah matlamat bersama.
Majlis ini turut mencatat sejarah sebagai konvokesyen pertama selepas penjenamaan rasmi UPM Kampus Bintulu kepada UPM Sarawak pada 30 Jun 2025. Selepas lebih lima dekad bertapak di bumi Kenyalang, UPM Sarawak terus berkembang sebagai universiti holistik berteraskan ilmu, inovasi dan kelestarian, sejajar dengan aspirasi Sarawak Maju 2030 serta peranan melahirkan graduan berjiwa bangsa dan berjiwa masyarakat.
Date of Input: 11/11/2025 |
Updated: 11/11/2025 | lanz
MEDIA SHARING