UPM Kampus Bintulu, 25 Ogos 2024: Dalam usaha memperkasakan masyarakat Jepak Jaya dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah menganjurkan kursus Asas Ternakan Ikan Air Tawar Secara Akuakultur pada 25 Ogos 2024 (Ahad). Kursus ini, yang berlangsung di Pusat Pertanian Putra, UPMKB adalah sebahagian daripada inisiatif BDA untuk penduduk kampung di kawasan Jepak Jaya yang akan melalui fasa transformasi sebagai sebuah bandar satelit baru.
Kursus ini melibatkan 38 orang peserta, dengan matlamat untuk memberikan mereka kemahiran yang diperlukan untuk berintegrasi dengan baik dalam landskap Jepak Jaya. Dengan bimbingan daripada pensyarah dan pakar dari UPMKB, termasuk Prof. Madya Dr. Amy Halimah Rajaee, Dr. Wan Zabidii Wan Morni, dan En. Johan Ismail (Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan), peserta kursus berpeluang untuk belajar secara langsung teknik asas akuakultur yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan ekonomi keluarga mereka.
Pegawai Khas Jepak Jaya Development (BDA), En. Muhammad Ali bin Mohamad Asfia, menyatakan bahawa kursus ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan teknik ternakan ikan air tawar, tetapi juga untuk menyediakan mereka dengan pengetahuan yang berpotensi untuk meningkatkan pendapatan tambahan penduduk kampung.
En. Muhammad Ali bin Mohamad Asfia percaya bahawa dengan ilmu dan kemahiran yang diperolehi melalui kursus ini, penduduk Jepak Jaya akan lebih bersedia untuk menghadapi perubahan yang akan datang bersama transformasi kawasan ini. Beliau berkata BDA menyokong inisiatif-inisiatif sebegini bagi memastikan kejayaan dan kesejahteraan komuniti Jepak Jaya.
Kursus ini dibiayai sepenuhnya oleh BDA dan penglibatan UPMKB sebagai rakan strategik dalam inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama dalam mendidik dan meningkatkan taraf hidup penduduk kawasan Jepak Jaya.
Kursus Asas Ternakan Ikan Air Tawar Secara Akuakultur ini adalah salah satu daripada program-program yang dirancang oleh BDA untuk memastikan transformasi Jepak Jaya bukan sahaja berjaya dari segi infrastruktur, tetapi juga dari segi pembangunan modal insan.
Ts. Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna (Pegawai Pertanian Kanan, Pusat Pertanian Putra UPMKB) selaku penyelaras kursus turut menambah bahawa kursus tersebut dijalankan selaras dengan keperluan peningkatan ilmu untuk memperkasakan bidang pertanian sebagai salah satu inisiatif dalam menghadapi isu krisis sekuriti makanan negara.
Pusat Pertanian Putra UPMKB ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pn. Hajah Siti Rajanah Abdul Aziz (Timbalan Pengarah, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, UPMKB), En. Nazzimin Sahimean dan En. Awgku Luqman Nul Hakim Awang Ismail yang banyak membantu di peringkat awal perbincangan pelaksanaan kursus bagi memastikan kursus ini dapat dijalankan serta En. Ayum Anak Balai, Cik Josephine Jawai Makos, Pn. Norbaya Che Rus, Pn. Jega Jantai, En. Hazman Mohd. Julaihi, En. Raymond Lau, En. Leonard Umban Pengarah, Cik Michelle Polda Nap dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam persediaan dan persiapan peralatan di lapangan bagi memastikan kelancaran kursus ini.
Pusat Pertanian Putra UPMKB turut mendapat galakan dan sokongan daripada Pengarah Kampus UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini agar kursus seumpama ini dapat dikembangkan kepada komuniti setempat khasnya dan masyarakat umum amnya sejajar dengan cogan kata keramat UPM ‘Berilmu Berbakti’ dengan bayaran yang minimum supaya bidang kepakaran yang dimiliki oleh pegawai akademik dan pegawai bukan akademik UPMKB dapat diserlahkan dan dimanfaatkan sewajarnya.
Date of Input: 29/08/2024 | Updated: 30/08/2024 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia