Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Penternakan Ayam Penelur kepada 27 peserta Pusat Khidmat N.36 Layar bertempat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Betong pada 12 April 2025 yang lepas sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dalam ilmu penternakan ayam penelur sebelum peserta memulakan projek mereka nanti.
Ts. Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna (Pegawai Pertanian Kanan Pusat Pertanian Putra UPMKB), penyelaras merangkap penceramah kursus berkata, kursus ini memberi informasi mengenai asas penternakan (perindukan, pembesaran, pemberian makanan dan penetasan) serta elemen pengurusan penternakan ayam penelur. Disamping itu, semasa sesi praktikal / amali, peserta telah didedahkan mengenai teknik pemilihan telur ayam untuk tujuan pengeraman dan penetasan, teknik pembuatan/penghasilan inkubator secara manual dan kecil-kecilan serta cara pemberian vaksin kepada ayam. Sesi praktikal ini telah dibantu oleh staff Pusat Pertanian Putra UPMKB iaitu Puan Jega Jantai, En. Khalid Nawi dan En. Yusri Drahman.
Timbalan Pengarah PPP, UPMKB, Prof. Madya Dr. Amy Halimah binti Rajaee turut menambah bahawa kursus tersebut dijalankan selaras dengan keperluan peningkatan ilmu untuk memperkasakan bidang pertanian sebagai salah satu inisiatif dalam menghadapi isu krisis sekuriti makanan negara. Inisiatif ini adalah selari dengan Jenama PUTRA – “Pertanian untuk Rakyat” dan moto UPM “Berilmu Berbakti”. Beliau juga berterima kasih kepada Pengarah Kampus UPMKB yang sentiasa memberikan sokongan untuk Pusat Pertanian Putra dalam menganjurkan kursus untuk komuniti dan industri setempat.
Dr. Steve Ancheh, penyelaras bersama kursus dan wakil Pusat Khidmat N.36 Layar, melahirkan harapan agar usaha kerjasama ini diteruskan dengan Universiti Putra Malaysia (UPM), khususnya dalam sektor pertanian. Pengetahuan yang dikongsi dalam program ini berfungsi sebagai panduan berharga, melengkapkan peserta dengan kemahiran dan pandangan yang diperlukan untuk merancang dan melaksanakan projek mereka dengan berkesan. Pusat Khidmat N.36 Layar berharap dapat memupuk perkongsian yang kukuh dengan UPM untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti usahawan tani di Layar, Betong.
Semoga kursus ini dapat memberikan manfaat kepada semua!
Date of Input: 16/04/2025 |
Updated: 16/04/2025 | lanz
MEDIA SHARING