LAWATAN PENANDA ARAS UPM: MEMPERKUKUH KHAZANAH WARISAN DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » LAWATAN PENANDA ARAS UPM: MEMPERKUKUH KHAZANAH WARISAN DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

LAWATAN PENANDA ARAS UPM: MEMPERKUKUH KHAZANAH WARISAN DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

BANGI, 20 Jun: Delegasi UPM Kampus Bintulu Sarawak telah mengadakan lawatan penanda aras di Galeri Sheikh Othman Sarawak, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini. Lawatan ini merupakan lawatan sulung yang bertujuan untuk mengetahui tentang asas-asas dan penubuhan Galeri tersebut.
 
Galeri Sheikh Othman Sarawak dikenali sebagai pusat penyelidikan dan pameran yang memfokuskan kepada pengkajian seni Islam serta peninggalan sejarah dan budaya masyarakat Sarawak. Para peserta lawatan, terdiri daripada Pengurusan UPMKB, wakil Pendaftar UPM Serdang, dan Staf Perpustakaan UPMKB. Turut hadir bersama rombongan UPMKB adalah Puan Dayang Norafzan binti Abang Naruddin, cicit keempat Sheikh Othman Sarawak.
 
Rombongan disambut mesra oleh wakil Pengurusan Fakulti Pengajian Islam, UKM yang diketuai oleh Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat dan juga Pengurusan Kursi Sheikh Othman Sarawak.
 
Dalam sesi perkongsian maklumat yang diadakan sempena lawatan tersebut, Pengarah Kampus UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini turut memberikan ucapan penghargaan kepada pihak Pengurusan Kursi Sheikh Othman Sarawak di atas sambutan yang penuh mesra.
 
Lawatan ini bukan hanya bertujuan untuk pendidikan dan pengkajian, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan antara UPMKB dan UKM dengan masyarakat Sarawak, serta mempromosikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai kekayaan budaya dan sejarah Islam di wilayah ini.
 
Pada akhir majlis, telah diadakan sesi pertukaran cenderamata daripada kedua-dua belah pihak dan seterusnya dibawa melawat sekitar Galeri.
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 25/06/2024 | Updated: 25/06/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:11:26:50~noCache