LAWATAN UPMKB KE NANNING: MEMACU PENDIDIKAN VOKASIONAL PERTANIAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » LAWATAN UPMKB KE NANNING: MEMACU PENDIDIKAN VOKASIONAL PERTANIAN

LAWATAN UPMKB KE NANNING: MEMACU PENDIDIKAN VOKASIONAL PERTANIAN

NANNING, 3 Julai – Pendidikan TVET sering menjadi agenda utama pendidikan negara dalam menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, sejajar dengan keperluan industri dan ekonomi yang semakin berkembang.

Delegasi Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan, dan Sains Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah melawat ke wilayah Nanning, Guangxi untuk meneroka potensi kerjasama, mobiliti jangka pendek serta promosi program pascasiswazah yang ditawarkan oleh UPMKB.

Lawatan yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Wong Tze Jin, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan, dan Sains UPMKB, memperkenalkan UPMKB sebagai destinasi hub pengajian tinggi tersohor di Borneo.

Menurut Dr. Wong, perbincangan ini bertujuan untuk memperkenalkan UPMKB sebagai institusi pengajian tinggi yang berfokus kepada pertanian, sejajar dengan pendidikan vokasional pertanian.

“Perbincangan bersama universiti-universiti ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada pendidikan vokasional di Nanning, tetapi juga membuka peluang kepada kita untuk melihat Malaysia sebagai destinasi pendidikan pascasiswazah bagi para pelajar di sana," katanya.

Antara universiti yang dilawati ialah Guangxi Vocational University of Agriculture, Nanning Vocational and Technical University (NVTU), Nanning University, Guangxi Minzu University, dan Guangxi University of Finance and Economics (GXUFE).

Penubuhan universiti-universiti tersebut di Nanning, Guangxi bermula dengan pendidikan vokasional sebelum berkembang menjadi institusi pendidikan komprehensif yang menawarkan pelbagai bidang peringkat ijazah sarjana muda dan pascasiswazah.

Dalam pada itu, delegasi UPMKB juga telah menjalankan perbincangan mengenai program-program mobiliti jangka pendek yang akan meluaskan visibiliti UPMKB. Program-program ini diharapkan dapat memberikan peluang kepada pelajar serta staf untuk mendapatkan pengalaman antarabangsa dan meningkatkan jaringan profesional mereka.

UPMKB berharap dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan universiti-universiti ini bagi manfaat para pelajar di masa hadapan. UPMKB sentiasa menyokong usaha dalam memacu kolaborasi antara institusi pengajian tinggi antarabangsa untuk menyokong aspirasi negeri Sarawak menjadi hub pendidikan tinggi yang disegani dunia.

Selain itu, delegasi ini turut menekankan tujahan UPM sebagai universiti yang menumpukan kepada keterjaminan makanan, terutama dalam meningkatkan produktiviti dan inovasi pertanian.

Delegasi UPMKB dibawa melawat plot rumah hijau berteknologi tinggi serta infrastruktur universiti-universiti tersebut untuk melihat kemudahan penyelidikan dan pembelajaran yang ditawarkan. Lawatan ini memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pengembangan teknologi pertanian.

Turut serta dalam delegasi lawatan ini adalah Dr. Alvin Lim Teik Zheng dari Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan, dan Sains UPMKB, serta En. Muhammad Syafiq Farhan Boo Bin Omar Boo, Ketua Seksyen Mobiliti, Putra International Center (i-PUTRA), UPM.

 

 

 

Date of Input: 05/07/2024 | Updated: 05/07/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:12:39:48~noCache