Bintulu, 19 Januari 2025 – Kelab Penyayang bersama Perpustakaan UPMKB telah menganjurkan program Naskah Budi yang bertujuan untuk menyemai semangat dermawan dan cinta ilmu di kalangan masyarakat.
Program ini diadakan pada 19 Januari 2025 di Komplek Kebajikan anak-anak yatim Bintulu ini melibatkan aktiviti sumbangan buku, susunan koleksi buku di mini perpustakaan, serta sesi membaca bersama anak-anak yatim yang terlibat.
Sebanyak 37 buah buku telah disumbangkan oleh Kelab Penyayang dan Perpustakaan UPMKB kepada anak-anak yatim. Buku-buku yang disumbangkan meliputi pelbagai genre, dari buku kanak-kanak, buku motivasi, hingga buku pendidikan yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada mereka dalam memperluas pengetahuan dan memberi hiburan yang berfaedah.
Pengarah program Naskah Budi Kelab Penyayang, Saudari Patricia Robert, dalam ucapan pembukaannya berkata, “Kami berharap dengan sumbangan ini, ia dapat memberi sedikit keceriaan dan memberi ruang kepada anak-anak yatim ini untuk terus menimba ilmu. Buku adalah salah satu cara untuk mereka terus berkembang, walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.”
Selain daripada sumbangan buku, satu lagi aktiviti yang turut dijalankan adalah penyusunan koleksi buku yang disumbangkan di mini perpustakaan Peryatim. Perpustakaan UPMKB telah mengambil inisiatif untuk membantu pihak Peryatim dalam menyusun dan menyelenggara koleksi buku yang ada, supaya anak-anak yatim dapat mengakses bahan bacaan dengan lebih mudah dan teratur.
Acara yang paling dinantikan pada hari tersebut adalah sesi membaca bersama anak-anak yatim. Para sukarelawan dari Kelab Penyayang UPMKB telah mengadakan sesi membaca buku bersama anak-anak yatim. Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan minat membaca di kalangan mereka serta mengeratkan hubungan antara sukarelawan dan anak-anak yatim.
Melalui program seperti ini, diharapkan budaya membaca dan memberi terus subur dalam kalangan masyarakat, serta mendorong lebih banyak pihak untuk menyumbang dalam membangunkan ilmu dan kasih sayang.
Date of Input: 04/02/2025 |
Updated: 04/02/2025 | lanz
MEDIA SHARING